'Sembilan hari di PPS, rindu hendak pulang ke rumah'

Mohamad meredah banjir termenung di halaman rumahnya di Kampung Talang Bunut.
Mohamad meredah banjir termenung di halaman rumahnya di Kampung Talang Bunut.
A
A
A

BATU PAHAT - Pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunut, Ayer Hitam di sini umpama rumah kedua buat 15 mangsa banjir sejak 7 Oktober lalu.

Memasuki hari kesembilan berada di PPS berkenaan pada Selasa, mangsa banjir dari Kampung Talang Bunut dan Kampung Olak Batu mula tidak sabar mahu pulang ke kediaman masing-masing.

Namun, mangsa banjir resah memikirkan keadaan rumah yang kini dilanda fenomena 'banjir termenung' atau air bertakung di samping keadaan cuaca ketika ini yang semakin memburuk.

Mohamad Ibrahim, 71 dari Kampung Talang Bunut berkata, rumah didiami bersama isteri, Marilah Jarman, 64 serta empat anak dan tujuh cucu dinaiki air secara mendadak sehingga kira-kira 0.3 meter apabila hujan bermula pada 6 Oktober.

Pekebun itu memberitahu, dia sekeluarga sudah dua kali berpindah ke PPS akibat banjir iaitu pada awal tahun dan kali ini.

"Rumah saya terletak hanya 50 meter dari Sungai Sembrong. Apabila hujan lebat, rumah saya pasti akan dinaiki air.

"Setiap kali banjir, kami sekeluarga akan tinggal di PPS ini sekurang-kurang seminggu sebelum dibenarkan pulang ke rumah," katanya ketika ditemui di PPS SK Seri Bunut pada Selasa.

Keadaan banjir termenung di Kampung Olak Batu, Ayer Hitam Batu Pahat pada Selasa.
Keadaan banjir termenung di Kampung Olak Batu, Ayer Hitam Batu Pahat pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohamad, setakat ini, masih tiada arahan untuk pulang ke rumah berikutan kawasan masih berlaku banjir termenung.

Bagaimanapun, Mohamad berkata layanan diberikan sepanjang berada di PPS itu amat baik dan dijaga makan, minum serta kesihatan oleh petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pelbagai agensi lain.

"Saya berharap dan berdoa agar keadaan banjir termenung cepat pulih.

"Dalam masa yang sama, saya berharap kerja-kerja meninggikan tapak tanah di bahagian dapur sedang kami sekeluarga lalukan bagi mengelak air banjir melimpah ke dalam rumah, dapat disiapkan segera," katanya.

Samsolbari (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Mohamad di PPS SK Seri Bunut.
Samsolbari (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Mohamad di PPS SK Seri Bunut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Samsolbari Jamali yang melawat mangsa banjir berkenaan berkata pihaknya akan berusaha mendapatkan bantuan sewajarnya agar kediaman penduduk terlibat tidak dinaiki air.

Katanya, usaha akan dilakukan melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dalam masa terdekat ini.

Tambah Samsolbari mengenai sebuah lagi keluarga di PPS terbabit, Faridah Jaslan, 65, yang tinggal bersama seorang anak Orang Kelainan Upaya (OKU) di Kampung Parit Nipah Laut, mereka akan mendapat bantuan baiki rumah daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang akan dilaksanakan oleh GiatMara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!