Jentera Nadma, agensi berkaitan sudah digerak ke kawasan banjir - Zahid

Seluruh jentera Nadma dan beberapa penguat kuasa lain, bermula dari peringkat pusat hingga daerah, sudah digerakkan ke kawasan yang dilanda banjir. Foto Bernama
Seluruh jentera Nadma dan beberapa penguat kuasa lain, bermula dari peringkat pusat hingga daerah, sudah digerakkan ke kawasan yang dilanda banjir. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seluruh jentera Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan beberapa penguat kuasa lain, bermula dari peringkat pusat hingga daerah, sudah digerakkan ke kawasan yang dilanda banjir bagi membantu memindahkan mangsa ke pusat penempatan sementara (PPS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, koordinasi antara Nadma dan agensi itu dilakukan segera mengambil kira jangkaan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku lebih awal daripada tempoh sepatutnya iaitu antara akhir Oktober atau awal November berikutan perubahan iklim.

"Walaupun saya kini berada di Manila (Filipina), saya terus melakukan pemantauan secara dekat dengan semua pegawai yang terlibat untuk menentukan bahawa tiada seorangpun mangsa yang tertinggal dan tidak disantuni.

"Saya berharap segala arahan yang dibuat oleh Nadma dan agensi penguat kuasa lain dapat diikuti oleh mangsa banjir,” menurutnya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, kini berada di Filipina sempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke republik itu sejak semalam untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Peringkat Menteri Asia Pasifik ke-10 bagi Pengurangan Risiko Bencana.

Semasa lawatan itu, beliau juga telah melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Filipina Ferdinand R Marcos Jr dan Naib Presiden Sara Duterte.

Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara itu juga dijadual mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan bagi membincangkan kerjasama terutama dalam bidang pendidikan berkenaan serta pembangunan kemahiran.

Setakat petang ini, lebih 4,000 mangsa banjir di enam negeri terjejas iaitu Selangor, Pahang, Perak, Kedah, Melaka dan Johor ditempatkan di PPS berikutan peralihan MTL yang sedang berlaku.

Artikel Berkaitan:

Hujan lebat di ibu negara sejak awal pagi turut menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air antaranya Jalan Pantai Baharu, Jalan Parlimen (Bulatan Dato’ Onn) dan Jalan Kinabalu ekoran limpahan sungai utama iaitu Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak selain insiden tanah runtuh di Taman Melawati. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!