Angkasa nafi koperasi 'godaan baharu' penjawat awam buat hutang

Laporan Sinar Harian (kiri), Abdul Fattah
Laporan Sinar Harian (kiri), Abdul Fattah
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menafikan dakwaan pinjaman koperasi sebagai 'godaan baharu' bagi penjawat awam dan tidak mementingkan penilaian kredit peminjam.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sedangkan institusi itu sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, ia termasuk had potongan gaji maksimum sebanyak 60 peratus daripada gaji bulanan penjawat awam.

"Peraturan itu diwujudkan bagi memastikan peminjam mampu membayar balik pinjaman tanpa menjejaskan kestabilan kewangan mereka.

"Angkasa juga memastikan pembayaran balik pinjaman koperasi dibuat melalui Sistem Potongan Gaji Angkasa (SPGA) yang memastikan pembayaran dijalankan secara automatik dan konsisten.

"Sistem ini memudahkan penjawat awam mengurus pembayaran pinjaman mereka dengan lebih tersusun," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum itu, pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Dr Khadijah Md Ariffin berkongsi kebimbangan mengenai kemudahan pinjaman yang ditawarkan oleh koperasi.

Beliau berkata, ini kerana institusi itu yang wujud bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, menjadi tumpuan penjawat awam untuk melakukan pinjaman.

Artikel Berkaitan:

Tambah Abdul Fattah, kenyataan bahawa pinjaman koperasi merupakan ancaman atau 'godaan' bagi penjawat awam adalah tidak berasas.

Jelasnya, hanya terdapat 670 koperasi kredit daripada 15,809 koperasi di Malaysia dan kenyataan umum itu boleh menjejaskan imej koperasi lain yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan selain daripada kredit atau pinjaman.

"Koperasi sentiasa mematuhi garis panduan yang ketat dan mengutamakan kesejahteraan anggotanya selain menyediakan perkhidmatan kewangan yang dikawal selia, memastikan peminjam mempunyai keupayaan untuk membayar balik pinjaman tanpa melampaui had yang ditetapkan oleh undang-undang

"Angkasa kekal komited untuk memastikan koperasi mematuhi peraturan yang ditetapkan dan pada yang sama kekal menyumbang kepada kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!