Jobcare Kuala Selangor tawar lebih 1,000 jawatan kosong

Papparaidu
Papparaidu
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 1,000 kekosongan jawatan ditawarkan sempena Karnival Kerjaya Jobcare Selangor di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Puncak Alam, Kuala Selangor pada Sabtu ini.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata, karnival Jobcare di Kuala Selangor itu diharap dapat memberi peluang kepada lebih ramai peserta mendapat pekerjaan seperti yang telah dicapai di daerah lain.

"Kami menggalakkan orang ramai untuk hadir dan memanfaatkan peluang ini selain memberi impak positif kepada pencari kerja serta majikan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Papparaidu, syarikat daripada pelbagai industri akan membuka kaunter bagi memperkenalkan kekosongan jawatan terkini, diikuti sesi temu duga kerja yang berlangsung sepanjang hari.

Menurut beliau, peserta digalakkan untuk membawa salinan resume mereka dan bersedia untuk temu duga segera.

"Selain itu, terdapat kaunter khas yang menyediakan bimbingan bagi memperbaiki resume," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, program itu menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan negeri Selangor dalam memperkukuh peluang pekerjaan bagi rakyat negeri ini.

Karnival Kerjaya Jobcare Selangor merupakan inisiatif kerajaan negeri yang dianjurkan oleh Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor.

Artikel Berkaitan:

Program itu bertujuan mempercepatkan proses pengambilan pekerja bagi pencari kerja.

Portal MYFutureJobs, sebagai portal pekerjaan kebangsaan, turut memainkan peranan penting dengan menyediakan maklumat terkini mengenai pasaran buruh, panduan gaji, serta trend dan klasifikasi pekerjaan.

Sehingga kini, program Jobcare telah dilaksanakan di enam daerah iaitu Hulu Langat, Petaling, Kuala Langat, Hulu Selangor, Gombak dan Klang dengan pencapaian membanggakan.

Seramai 637 peserta Jobcare telah berjaya memperoleh pekerjaan melalui program itu yang mencerminkan keberkesanan inisiatif dirangka oleh kerajaan negeri dalam membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan dengan lebih pantas dan mudah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!