Pemandu treler maut tersepit
SHAH ALAM - Seorang pemandu treler maut akibat tersepit di tempat duduknya selepas merempuh belakang sebuah treler lain di Kilometer 38.8 Lebuhraya Kesas menghala Pelabuhan Klang, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa, Yazid Mohamad, 55, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Sementara dua kelindan treler berkenaan, Mohammad Dary Ardshad, 18, dan Muhammad Azzhar Aziq Kamsani, 18 terselamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Azmel Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.17 pagi sebelum seramai 10 anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sampai di lokasi dapati terdapat dua mangsa masih tersepit iaitu pemandu dan seorang kelindan (Mohamad Dary) sebelum bertindak memotong dan mengumpil pintu di bahagian pemandu dan kelindan untuk mengeluarkan mereka.
“Bagaimanapun, pemandu treler terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, seorang lagi kelindan tidak mengalami kecederaan dan berjaya keluar sebelum pihak bomba tiba.
Tambahnya, kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!