Mesyuarat MKT UMNO dijangka muktamad kerjasama dengan parti kerajaan
KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Bagaimanapun media tidak dibenarkan berada di tingkat 38, lokasi mesyuarat tersebut berlangsung sebaliknya menunggu di ruang legar pintu masuk utama bangunan berkenaan.
Menurut sumber, mesyuarat yang dijadualkan itu antara lain akan memuktamadkan isu kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan cadangan pembentukan kerajaan campuran.
Turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan serta tiga Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, ketua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta Pengerusi UMNO negeri-negeri.
Turut kelihatan, Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Terdahulu, spekulasi mengenai kerajaan campuran membabitkan Bersatu, UMNO dan Pas tercetus sejak 3 Februari lalu apabila Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendedahkan mengenainya.
Lokman tampil membidas Ahmad Zahid yang didakwanya mahu bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid perlu letak jawatan, kata Lokman Adam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!