KPDN perkenal dua strategi interim berhubung Lemon Law

Armizan (empat, kiri) semasa lawatan kerja dan perjumpaan bersama syarikat Carsome Group di Carsome PJ Auto Mall pada Selasa. Foto Bernama
Armizan (empat, kiri) semasa lawatan kerja dan perjumpaan bersama syarikat Carsome Group di Carsome PJ Auto Mall pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan dua strategi interim untuk melindungi hak pengguna berkaitan hak tebus rugi sebelum kerangka perundangan baharu berhubung Lemon Law dimuktamadkan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, melalui kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi perbankan, strategi itu mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) untuk memproses permohonan surat persetujuan daripada pengguna.

“Pada masa yang sama, institusi perbankan juga telah diminta menubuhkan unit dalaman khusus untuk menerima dan memproses sebarang permohonan berkaitan.

“Bermula 2 September lepas, pihak BNM telah keluarkan arahan meminta pihak bank dan institusi kewangan supaya wujudkan SOP bagi membolehkan pengguna memohon serta mendapatkan surat persetujuan.

“Susulan itu, kedua-dua inisiatif itu dilaksanakan sebelum 3 Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan, KPDN menumpukan penyelesaian pertikaian antara pengguna dan syarikat automotif dalam mewujudkan skim ombudsman khas untuk industri automotif di Malaysia.

Armizan berkata, ciri tersebut antara perkara diberi keutamaan dalam skim baharu yang bakal diwujudkan nanti.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, strategi berkenaan adalah inisiatif intervensi oleh kerajaan bagi memastikan pengguna mempunyai akses kepada medium penyelesaian yang adil dan berkesan.

Artikel Berkaitan:

“Melalui perundangan sedia ada, pengguna kenderaan terpakai mempunyai platform untuk menuntut hak mereka melalui kaedah tuntutan tebus rugi yang boleh disalurkan kepada Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia (TTPM).

“Pengguna pula boleh mendapatkan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi selaras dengan prinsip perlindungan pengguna dalam perundangan Malaysia,” katanya.

Menurut Armizan, mulai Januari hingga Ogos 2024, KPDN telah menerima 114 jumlah pemfailan tuntutan tebus rugi bagi kenderaan baharu di TTPM, manakala sebanyak 187 tuntutan kenderaan terpakai.

“Bermula 1 Jun sehingga 30 September 2024, sebanyak 16 aduan di bawah pasukan telah diterima dan disiasat oleh pasukan rundingan khas berkaitan aduan kenderaan bermotor ini.

“KPDN sedang mengkaji pelaksanaan serta penguatkuasaan perundangan berkaitan Lemon Law di Malaysia yang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk yang berulang kali rosak dan gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi.

“Remedi yang boleh dituntut oleh pengguna atau pembeli di bawah Lemon Law ini melibatkan pembaikan, penggantian, pengurangan harga atau pembayaran balik,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!