Berderet isu, warganet ‘berkumpul’ di media sosial
BARU sahaja masuk bulan Oktober, namun pengguna media sosial ibarat ‘menggila’ apabila beberapa kes menarik perhatian berlaku.
Bukannya kes jenayah, sebaliknya kes yang mengundang perhatian umum.
Apa yang Merak Jalanan boleh kongsikan di sini sekurangnya ada empat kes dalam satu minggu yang menarik warganet untuk ‘berkumpul’ dan memberi pelbagai reaksi atas kejadian terbabit.
Kes pertama iaitu hubungan selebriti popular, Fattah Amin dan Nur Fazura akhirnya terlerai apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, 7 Oktober lalu.
Tidak lama kemudian, tanpa gosip panas, pelakon Emma Maembong mendedahkan dia sudah bercerai dengan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar secara baik.
Merak Jalanan percaya, dua isu penceraian melibatkan selebriti ini menjadi topik hangat warganet di media sosial.
Tidak cukup dengan berita itu, para peminat motosikal dua lejang juga dikejutkan selepas tular usahawan wanita dari Kelantan membeli Yamaha RX-Z unregistered berharga RM140,000.
Pemerhatian Merak Jalanan mengenai harga itu sudah tentulah ia merupakan nilai yang sangat gila.
Mungkin ada yang tidak setuju dan bersetuju dengan harga itu, Merak Jalanan yakin masing-masing ada pendapat sendiri.
Tidak cukup reda dengan isu RX-Z, muncul pula isu cabutan bertuah utama pada program Honda Day Malaysia 2024.
Mana tidaknya, hadiah cabutan bertuah pada acara gah yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang itu rupanya hanyalah kereta Honda Accord keluaran tahun 1992 yang berwarna kusam dianggar bernilai RM3,500.
Isu ini mengundang ketawa dan seloroh warganet selain menganggap ia memalukan.
Inilah yang Merak Jalanan maksudkan, baru reda satu isu, terus isu lain datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!