'Beri wang rasuah kepada pengundi'
PALEMBANG - Ejen calon kepada pasangan Toha Tohet-Rahman didakwa mengedarkan sampul yang dipercayai berisi wang bagi mempengaruhi pengundi memilih pasangan berkenaan sempena Pemilihan Kepala (Ketua) Daerah (Pilkada), Musi Banyuasin.
Malah tindakan berkenaan tular di media sosial hingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.
Susulan itu, beberapa laporan telah dibuat kepada Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu) Sumatera Selatan, bagi menyiasat dakwaan berkenaan.
"Pasangan calon tersebut telah melakukan pelanggaran undang-undang mengikut Pasal 73 Jo 187 A UU nombor 10 tahun 2016 iaitu melakukan amalan politik wang," demikian menurut jurucakap pemerhati pilihan raya, Muhammad Fadli kepada pemberita pada Isnin.
Sementara itu, pegawai Bawaslu, Muryadi mengesahkan dua laporan sudah diterima pihaknya berhubung perkara berkenaan.
"Untuk tindakan selajutnya kita nantikan dahulu,kerana setakat ini kita masih menyiasat perkara ini," katanya.
Pilkada 2024 dijalankan serentak melibatkan 545 daerah di seluruh Indonesia. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!