Mohon diserap ke jawatan tetap

Program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) perlu memberi ruang dan peluang kepada peserta untuk diserap ke jawatan tetap. Gambar hiasan 123rf. Gambar kecil dari kiri: Khairun Badriah, Siti Maryam, Nor Shakira
Program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) perlu memberi ruang dan peluang kepada peserta untuk diserap ke jawatan tetap. Gambar hiasan 123rf. Gambar kecil dari kiri: Khairun Badriah, Siti Maryam, Nor Shakira
A
A
A

SHAH ALAM - Program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) perlu memberi ruang dan peluang kepada peserta untuk diserap ke jawatan tetap berdasarkan kebolehan serta kemampuan dalam menjalankan tugas dengan cekap.

Peserta MySTEP, Khairun Badriah Adnan, 24, berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan tersebut untuk tempoh masa tertentu kerana ramai peserta mempunyai kemahiran yang baik sewaktu mengurus serta menyelesaikan tugasan.

“Kerajaan juga perlu memperbaharui penjawatan sekarang kerana terdapat beberapa tugasan MySTEP, tiada dalam sektor perkhidmatan awam.

“Situasi ini menyebabkan peluang peserta untuk menjadi sebahagian daripada penjawat awam sangat tipis sedangkan mereka mempunyai bakat dan pengalaman dalam menguruskan tugas mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi pereka grafik, Nor Shakira Shamsinor, 26, banyak kelebihan yang diperoleh menerusi program berkenaan dan meningkatkan kualiti komunikasi serta mendedahkan dia kepada kaedah betul untuk menyelesaikan tugasan kritikal.

“Saya berharap peserta MySTEP diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada staf tetap kerana ada dalam kalangan mereka sangat berbakat dalam sesuatu bidang tetapi malangnya tidak mempunyai peluang untuk pergi lebih jauh,” jelasnya.

Siti Maryam Mohd Azam, 21, yang sudah bertugas sebagai peserta MySTEP selama enam bulan berkata, program seperti itu memberi banyak manfaat kepada graduan untuk memperoleh pengalaman kerja dalam sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ujarnya, dengan pengalaman bekerja di bawah program tersebut dia lebih yakin dengan keputusan untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam secara tetap.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!