Jacky ingin nikmati baki aksi sebagai pemain BAM
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Jacky Kok Jing Hong enggan terlalu memikirkan hala tuju selepas ‘meninggalkan’ Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sebaliknya hanya ingin menikmati baki kejohanan dalam kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebagai pemain di bawah badan induk itu.
Pemain berusia 22 tahun itu mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan kejurulatihan dan penyokong yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bagi sepanjang penglibatannya di bawah naungan BAM sejak tahun 2015.
"Setakat ini saya tidak berfikir banyak dan hanya ingin menikmati perlawanan sebab masih akan beraksi di Malaysia Super 100 (15 Oktober - 20 Oktober) dan Masters Indonesia (29 Oktober - 3 November) dan mewakili BAM,” katanya kepada pemberita selepas menewaskan Mithun Manjunath dari India 21-16, 21-8 pada pusingan pertama Malaysia Super 100 hari ini.
BAM sebelum ini mengumumkan telah melakukan rombakan pemain dengan ‘melepaskan’ 13 pemain termasuk Jacky berkuat kuasa hujung bulan ini.
Dalam pada itu, Jacky mengakui bermain di laman sendiri iaitu di Stadium Juara, Bukit Kiara bagi kejohanan Malaysia Super 100 membangkitkan rasa teruja dalam dirinya dan berharap dapat mempamerkan sepenuh kemampuan dan potensi dirinya dalam kejohanan itu.
Jacky seterusnya akan melakukan perhitungan menentang pemain Jepun Koo Takahashi yang juga pilihan keempat kejohanan pada pusingan kedua hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!