Piala Dunia Kriket T20: Skuad remaja negara mampu mara lebih jauh

Md Iqbal Ali
Md Iqbal Ali
A
A
A

BIARPUN di undi dalam 'kumpulan maut' bagi saingan Piala Dunia Kriket Wanita T20 Bawah-19 tahun Januari depan, namun skuad negara dilihat tetap berpeluang untuk mara lebih jauh dan mencipta kejutan.

Perkara itu ditegaskan Presiden Persatuan Kriket Malaysia, Md Iqbal Ali Kassim Ali berdasarkan kepada persiapan yang dilakukan skuad muda negara itu sejak awal tahun termasuk mengadakan perlawanan di Thailand.

“Untuk saingan Piala Dunia kali ini pasukan kita diundi bersama tiga pasukan terbaik dunia melibatkan India, Sri Lanka dan West Indies di mana kesemua pasukan ini pernah muncul juara terutamanya di peringkat senior.

“Bagaimanapun, ceritanya mungkin berbeza kali ini kerana pasukan kita yang dibarisi pasukan bawah 19 tahun tidak kurang hebatnya dan ada pemain yang masih muda berusia 16, 17 tahun.

“Secara keseluruhannya kita melihat saingan Piala Dunia kali ini sebagai medan pendedahan terbaik buat pasukan kita menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Piala Dunia Kriket Wanita Bawah 19 Tanun (B-19) T20 di sini pada Selasa.

Difahamkan, Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi Piala Dunia kali ini yang dijadualkan berlangsung mulai 18 hingga 2 Februari 2025.

Sebanyak 16 pasukan bakal beraksi di empat venue di Selangor, Johor dan Sarawak bagi saingan kali ini.

Artikel Berkaitan:

Skuad remaja wanita negara akan beraksi pada saingan Piala Asia Kriket Wanita T29 bawah 19 tahun Disember ini sebagai persiapan terakhir bagi mengharungi saingan di Piala Dunia kelak.

Sementara itu, Presiden Majlis Kriket Johor, Profesor Faidz Abdul Rahman berkata, kerja-kerja membaik pulih padang di Akademi Kriket Jhor Dato Dr Harjit Singh akan bermula minggu ini dalam usaha menyediakan padang terbaik sebagai venue bagi aksi Kumpulan B melibatkan pasukan England, Pakistan, Ireland dan Amerika Syarikat (AS).

“Kesemua fasiliti dan kemudahan juga akan ditambah baik bagi menjaga nama baik negeri Johor selaku tuan rumah bagi kejohanan peringkat antarabangsa kali ini,” katanya.

Untuk rekod, aksi Kumpulan C melibatkan New Zealand, Afrika Selatan, pasukan kelayakan Afrika dan Samoa), akan berlangsung di padang Kriket Petra Jaya di Kuching, aksi Kumpulan D melibatkan pasukan Australia, Bangladesh, Kelayakan Asia, dan Scotland pula bakal berlangsung di YSD Oval, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),di Bangi dan Bayuemas Oval, Klang menjadi gelanggang bagi tuan rumah, Malaysia, bersama India, Sri Lanka dan West Indies.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!