Peluang masuk Balang 1 semakin sukar

Kekalahan kepada New Zealand menyukarkan lagi peluang Malaysia untuk melompat ke Balang 1.
Kekalahan kepada New Zealand menyukarkan lagi peluang Malaysia untuk melompat ke Balang 1.
A
A
A

MISI Harimau Malaya untuk berada dalam Balang 1 pada undian pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula tahun depan semakin berliku.

Ia selepas skuad negara dibelasah 0-4 oleh New Zealand dalam aksi persahabatan Tier 1 yang berlangsung di Stadium North Harbour, Auckland pada Isnin, menyaksikan Malaysia kehilangan 3.72 mata untuk mengumpul 1,113.92 mata FIFA berdasarkan pengiraan tidak rasmi.

Jumlah mata tersebut agak jauh, dengan Malaysia perlu memintas India yang kini mengumpul 1,133.79 mata untuk melompat dari Balang 2 ke Balang 1.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, Malaysia perlu menerima hakikat bahawa misi mustahil itu sukar untuk direalisasikan, sekali gus Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) harus segera memikirkan alternatif lebih sesuai.

Menurutnya, skuad negara tidak perlu memikirkan lagi balang mana bakal menjadi tempat untuk mereka, sebaliknya perlu melakukan persiapan awal bagi aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia itu.

“Kalau ikut pada situasi asal memang kita sudah berdepan kesukaran untuk berada dalam Balang 1 tetapi bagi saya, duduk di balang mana sekali pun ia tidak seharusnya menjadi masalah.

“Apa yang perlu dilakukan mengambil kira kemungkinan kita tidak boleh melompat ke Balang 1 adalah kita perlu melakukan persiapan rapi sebelum kelayakan tersebut.

“Tunjukkan bahawa kita mampu menyerlah tidak kira kita berada dalam balang mana atau dengan pasukan mana yang kita perlu lawan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Artikel Berkaitan:

Skuad negara mempunyai tiga peluang perlawanan persahabatan untuk memperbaiki ranking sebelum undian kelayakan yang akan berlangsung pada 19 Disember ini.

Namun, setakat ini Malaysia hanya sah akan berdepan India dalam perlawanan persahabatan jendela FIFA pada November ini manakala dua lagi perlawanan masih belum dimuktamadkan.

Sekiranya gagal memperbaiki ranking dan kekal dalam Balang 2, Malaysia akan diundi bertemu pasukan dari Balang 1 seperti seperti Syria, Tajikistan, Thailand, Vietnam dan Lubnan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!