[VIDEO] 'Jangan pandang rendah setiap aduan diterima' - Amirudin

A
A
A

AMPANG - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak memandang rendah setiap aduan diterima terutama membabitkan kawasan berisiko bencana.

Amirudin berkata, setiap aduan diambil tindakan dan semakan terhadap langkah susulan yang telah dibuat.

Amirudin melawat penduduk yang diarahkan mengosongkan kediaman susulan runtuhan tanah di Taman Melawati dalam kejadian Selasa.
Amirudin melawat penduduk yang diarahkan mengosongkan kediaman susulan runtuhan tanah di Taman Melawati dalam kejadian Selasa.

"Kita tidak boleh pandang rendah terhadap sebarang aduan dibuat termasuk melihat sama ada ia terletak dalam kawasan berisiko.

"Jika di kawasan berisiko ia perlu diambil tindakan, sama ada MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) yang ambil tindakan atau arahkan pemilik bertanggungjawab.

"Selepas ini apabila terima laporan, kena semak status tanah, jika tanah hak milik maka kena maklumkan kepada pemilik untuk ambil langkah perlu.

"Kemudian perlu semak bahagian pelaporan adakah aduan itu telah disampaikan atau tidak," katanya mengulas dakwaan penduduk terlibat kejadian tanah runtuh di Taman Melawati bahawa aduan dibuat sebelum ini tidak diambil tindakan oleh MPAJ.

Beliau ditemui selepas meninjau lokasi runtuhan lereng bukit Taman Melawati dan meninjau penduduk terjejas pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Keadaan runtuhan tanah di Taman Melawati.
Keadaan runtuhan tanah di Taman Melawati.

Dalam kejadian Selasa, tanah runtuh berlaku di sebuah bukit di persimpangan Jalan Serdang dan Jalan E6, Taman Melawati, sekitar jam 10.30 akibat hujan lebat berterusan sejak jam 9 pagi.

Penghuni di tujuh kediaman telah diarahkan mengosongkan rumah masing-masing atas faktor keselamatan.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, lokasi gelongsoran tanah berstatus hak milik swasta yang akan bertanggungjawab untuk kerja baik pulih.

Beliau turut mengesahkan tiada kawasan pembangunan di tapak gelongsoran tanah namun terdapat projek pemaju di bahagian atas.

Ujarnya, runtuhan berlaku disebabkan longkang tersumbat oleh batu dan tanah menyebabkan berlaku limpahan air.

"Limpahan tersebut pernah berlaku sebelum ini cuma semalam keadaannya agak luar biasa dengan kuantiti air yang besar.

"Seluruh kawasan terlibat adalah bawah tanggungjawab pemaju dan pemilik jadi MPAJ telah keluarkan notis kepada pihak terbabit supaya dapat kemas kini, selenggara tanah dan laluan tersebut," katanya.

Beliau tidak tolak kemungkinan punca longkang tersumbat disebabkan projek pembangunan di bahagian atas lokasi runtuhan.

"Itu saya perlu dapatkan laporan rasmi tapi logiknya ia daripada batuan yang tersumbat jadi sudah pasti kerja-kerja melibatkan laluan kenderaan dan pecahan batu di bahagian atas.

"Saya tak mahu buat kesimpulan awal tapi apa juga tanah itu bawah tanggungjawab pemaju dan pemilik, kalau longkang tersumbat berlaku limpahan itu perlu diambil tindakan.

"Sebagai pihak berkuasa kita perlu pantau dan ingatkan kepada pemaju," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!