Tiada pelakon wanita, teater Tok Janggut 13 Liang dipentaskan di Kelantan
TEATER Tok Janggut 13 Liang bakal dipentaskan di Dewan Utama Kampus Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kubang Kerian, Kelantan selama dua hari bermula 18 Oktober depan.
Pengarah teater Tok Janggut 13 Liang, Jihan Meghaa Ismail berkata, walaupun pementasannya tanpa pelakon wanita namun kehadiran pelakon utama, Datuk Hilal Azman yang memegang watak utama Tok Janggut dapat memberi impak kepada penonton terutama generasi baharu.
Pemilihan Hasnul Rahmat sebagai pemerintah Bristih yang dikenali 'Lagham Carter' juga dilihat sebagai penguat kepada teater yang diadaptasi daripada novel naskah agung sasterawan negara Allahyarham S Othman Kelantan berjudul 'Perwira'.
"Kita ada elemen 'suprise' yang akan dipertontonkan dalam teater itu nanti kerana ada beberapa perbezaan dengan naskah sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pementasan Karya Agung Teater Tok Janggut 13 Liang di Mukim Padang Enggang.
Jihan juga mahu penonton Tok Janggut 13 Liang menjiwai maksud '13 liang' yang menjadi tajuk teater itu.
"Ada rahsia di sebalik '13 liang' itu tetapi kami mahu penonton sendiri datang dan melihat apakah yang dimaksudkan dengan tajuk itu," katanya.
Selain Hilal dan Hasnol, turut membarisi Tok Janggut 13 Liang ialah pelakon teater hebat, Norhafis Mustaffar sebagai Sarjan Che Wan, Mohd Shahrul Mahamad sebagai Che Latif dan Abdul Hadi Yusoff sebagai Engku Besar Jeram.
Sementara itu, penulis skrip, Noormaziah Yaacob, 56, berkata, bagi mengangkat watak Tok Janggut, beliau membuat banyak kajian dan mencari sumber untuk mendapatkan fakta tepat mengenai pahlawan itu.
"Kita mahu generasi kini dapat mengambil iktibar bagaimana negara pernah jatuh kerana penjajahan," katanya.
Noormaziah atau nama panelnya, Lamia Aiman memberitahu, sebenarnya beliau lebih teruja menggunakan loghat Kelantan sesuai dengan pementasan di negeri ini.
Bagaimanapun katanya, perbincangan bersama bersetuju menggunakan bahasa Melayu kerana mahu membawa persembahan ini ke pentas lebih tinggi pada masa depan.
Pementasan teater di dewan yang boleh memuatkan lebih 1,000 penonton itu bermula jam 8 malam dan masuk adalah percuma.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!