Teraju peruntuk bahagian terbesar dana RM100 juta kepada microLEAP

Teraju memperuntukkan dana RM100 juta kepada platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) terkemuka di Malaysia dengan bahagian terbesar diberikan kepada microLEAP
Teraju memperuntukkan dana RM100 juta kepada platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) terkemuka di Malaysia dengan bahagian terbesar diberikan kepada microLEAP
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) memperuntukkan dana RM100 juta kepada platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) terkemuka di Malaysia dengan bahagian terbesar diberikan kepada microLEAP.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata, peruntukan itu merupakan sebahagian daripada Program Pembiayaan Projek Modal Kerja Islam (i-WCPF) mencerminkan keyakinan Teraju terhadap peranan penting pihaknya dalam memajukan landskap ekonomi Bumiputera.

Menurutnya, program i-WCPF disesuaikan khusus untuk perusahaan Bumiputera dan menyediakan penyelesaian pembiayaan Islam yang inovatif termasuk pembiayaan pra-invois dan pasca-invois berdasarkan prinsip Syariah Komoditi Murabahah melalui Tawarruq.

"Dana ini menyasarkan sektor-sektor berpotensi tinggi seperti, tetapi tidak terhad kepada tenaga boleh baharu (TBB), teknologi dan digital, elektrik dan elektronik, pertanian dan berasaskan agro serta industri logam nadir.

"Usaha itu membolehkan perniagaan mencapai pertumbuhan mampan dengan kadar keuntungan yang kompetitif, mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan konvensional,"ujarnya.

Beliau berpendapat, pembiayaan itu juga merupakan detik penting bagi pihaknya kerana membolehkan microLEAP memberi impak nyata kepada komuniti Bumiputera.

Jelasnya, hubungan jangka panjang microLEAP dengan Teraju menjadi kunci dalam merealisasikan inisiatif tersebut.

"Kami komited untuk memperkasa usahawan Bumiputera dengan sumber yang mereka perlukan untuk meningkatkan penyertaan dalam ekonomi tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Pejabat microLEAP yang ditubuhkan di dalam dan di luar Lembah Klang meliputi Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, dan Perak berada dalam kedudukan unik untuk menyediakan perkhidmatan pembiayaan yang mudah diakses di seluruh negara.

"Capaian luas ini adalah penting untuk mencapai matlamat i-WCPF dalam menyokong perniagaan Bumiputera di seluruh negara,"katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Junady Nawawi memberitahu, pelaburan itu sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama Malaysia 2021-2030.

Tambah beliau, ia adalah bukti dedikasi Teraju dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan inklusiviti.

"Melalui kerjasama seperti ini, kami bukan sahaja memberi sokongan kewangan tetapi juga membangunkan ekosistem kukuh yang mana usahawan Bumiputera dapat berkembang maju dan menyumbang secara bermakna kepada kemakmuran Malaysia.

"Selain itu, pembiayaan sehingga RM1 juta untuk setiap transaksi, terma 12 bulan, dan kadar keuntungan yang kompetitif, penawaran microLEAP di bawah i-WCPF bersedia mengubah akses kepada pembiayaan perusahaan Bumiputera," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!