184 kes kemalangan kenderaan perdagangan direkod pada September

Kemalangan sebuah kontena di Sungai Petani, Kedah 22 Mei lalu mengakibatkan seorang maut.
Kemalangan sebuah kontena di Sungai Petani, Kedah 22 Mei lalu mengakibatkan seorang maut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 184 kes kemalangan disiasat membabitkan kenderaan perdagangan direkodkan sepanjang September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, daripada jumlah itu, 101 kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan melulu yang melibatkan kemalangan maut.

Mohd Yusri
Mohd Yusri

Menurutnya, 35 kes pula melibatkan kemalangan cedera parah yang disiasat mengikut Seksyen 43 APJ 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat, manakala 48 kes membabitkan kemalangan cedera ringan yang disiasat di bawah Kaedah 10 LN 166/59.

"Kategori kenderaan perdagangan merangkumi lori kecil, treler dan lori kontena yang menjadi antara penyumbang tertinggi kes kemalangan.

"Selain itu, statistik operasi Op Perdagangan yang dijalankan JSPT pada tahun ini bagi tempoh Januari hingga September merekodkan 4,822 operasi dengan 38,367 saman dikeluarkan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, operasi ini telah bertindak menyita 177 pelbagai jenis kenderaan perdagangan.

Menurutnya, kesalahan utama yang dikesan adalah seperti membawa muatan secara merbahaya, tiada segi tiga, tayar botak, lampu signal dan brek tidak berfungsi dan membawa muatan secara tidak kemas.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Yusri, JSPT memandang serius dengan kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan yang memberi kesan kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Bagi mengelak dan mengurangkan kemalangan ini berlaku, JSPT menyeru pengusaha atau majikan kenderaan perdagangan melaksanakan tapisan terperinci di peringkat dalaman merangkumi elemen tahap kesihatan pemandu dan penyelenggaraan berkala tanpa gagal.

"Sekiranya pemeriksaan kenderaan dipatuhi sepenuhnya, barulah layak untuk dipandu di jalan raya," ujarnya.

Sebelum ini, beberapa kes kemalangan kenderaan perdagangan dilaporkan antaranya 22 Mei lalu, seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori kontena di Jalan Sidam Kiri, Sungai Petani di Kedah.

Selain itu, dalam kejadian pada 30 Julai, seorang pemandu lori kontena maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 44.1 Lebuhraya Utara Selatan, Hulu Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!