114 'hotspot' tanah runtuh di Ampang Jaya - Amirudin

Amirudin Shari ketika ditemu bual pemberita selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati. Foto Bernama
Amirudin Shari ketika ditemu bual pemberita selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati. Foto Bernama
A
A
A

AMPANG - Lokasi tanah runtuh di lereng bukit Jalan E6 Taman Melawati di sini, merupakan satu daripada 114 kawasan kawasan berisiko atau 'hotspot' berlaku bencana seumpama itu di daerah Ampang Jaya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keseluruhan lokasi yang berisiko mengalami kejadian tanah runtuh di daerah itu adalah melebihi 600 kawasan.

Beliau berkata, kawasan yang boleh ditandakan sebagai zon kuning, jingga dan merah atau yang paling berisiko adalah lebih 600 lokasi.

"Sementara kawasan berisiko iaitu zon jingga adalah melebihi 400 kawasan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 114 kawasan yang dilihat sangat berisiko tinggi termasuk kawasan tanah runtuh Taman Melawati ini,” katanya pada sidang akhbar di sekitar lokasi kejadian pada Rabu.

Sehubungan itu, kata beliau, kawasan tanah runtuh Taman Melawati antara lokasi berisiko yang disenaraikan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Menurutnya, struktur tanah runtuh di kawasan Taman Melawati yang mana tanah-tanah tersebut berada di atas batu kapur.

Jelas beliau, ia merupakan satu rangkaian batu kapur yang panjang dari Hulu Klang, di daerah Ampang Jaya sehingga ke Batu Caves.

Artikel Berkaitan:

"Apabila berlaku pergerakan air selama beberapa bulan di situ, makna gelongsoran akan mudah berlaku.

"Kita telah memberi maklum berhubung perkara ini sebelum ini, tetapi mana mungkin kita hendak pindahkan semua penghuni di sini," ujarnya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan hujan lebat berlaku di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur pada Selasa.

Ekoran hujan lebat itu mengakibatkan kejadian tanah runtuh setinggi 30 meter di Taman Melawati, Hulu Klang di sini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!