Balai Polis Lintang ditutup sementara selepas kembali dilanda banjir
IPOH - Balai Polis Lintang yang terletak di Sungai Siput tidak dapat beroperasi buat sementara waktu berikutan kawasan berkenaan kembali dilanda banjir sejak malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kerja-kerja pembersihan sudah dilakukan sejak Isnin lepas sebaik banjir pulih ketika itu.
"Kita bercadang melakukan kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh hari ini namun terpaksa ditangguhkan dahulu.
"Kawasan sekitar dinaiki air semula kira-kira 10 malam tadi akibat hujan lebat semalam. Air naik begitu cepat dan kita telah membuat pemindahan aset-aset penting di balai ke tempat lebih selamat,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mohd Khaizam berkata, mana-mana penduduk setempat yang mahu membuat laporan polis boleh berbuat demikian di balai polis berhampiran seperti Balai Polis Simpang Jalong atau Balai Polis Salak Baru.
Menurutnya, barangan perabot di balai polis berkenaan mengalami kerosakan dan pihaknya masih mengenal pasti kerosakan lain.
Beliau berkata, Balai Polis Lintang tidak dilanda banjir sejak dua tahun lepas dan banjir paling teruk berlaku di balai polis berkenaan adalah pada 2014.
Mohd Khaizam turut memaklumkan seramai 13 anggota bertugas di balai polis itu dan sementara penutupan, mereka memfokuskan kepada operasi menyelamatkan mangsa banjir.
Sungai Siput antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir dengan 728 daripada 260 keluarga berlindung di tiga pusat pemindahan sementara setakat ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!