AMIEF2024 pelantar strategik kukuh kerjasama negara ASEAN
KUALA LUMPUR - Perubahan gaya hidup dan kemajuan teknologi komunikasi serta penyiaran telah menyebabkan pelbagai elemen kehidupan manusia berubah. Perkara ini memberi cabaran kepada para pelajar institut pengajian tinggi dan pengamal dalam industri media, penyiaran serta pendidikan.
Menyedari tentang cabaran tersebut, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil pendekatan proaktif dengan menganjurkan Forum Industri Media dan Pendidikan ASEAN (AMIEF2024) di Auditorium Canselori UniMAP (Kangar, Perlis) pada 21 Oktober 2024.
Ketua Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin menegaskan, AMIEF 2024 merupakan pelantar strategik untuk mengukuhkan kerjasama antara negara-negara ASEAN dan memberi pendedahan penting kepada para pelajar, pengamal industri dan kakitangan awam mengenai gaya popular (trend) termasuk keperluan masa hadapan industri media serta penyiaran.
“AMIEF 2024 yang kali pertama dianjurkan ini dapat memberi pemahaman mendalam tentang keperluan kerjaya dalam industri media dan penyiaran di peringkat ASEAN.
“Ia juga dapat menyediakan landasan untuk memperkukuhkan kolaborasi antara pengamal industri media-penyiaran dengan para pelajar universiti.
“Hasil pembentangan dan perbincangan ini dapat membuka ruang dan membantu pihak universiti dan para pelajar memahami keperluan industri media serta penyiaran dalam negara-negara ASEAN,” katanya.
Jelas beliau, kolaborasi pelbagai pihak dalam industri media-penyiaran dengan bidang pendidikan adalah kunci kepada pembangunan tenaga kerja yang berdaya saing dan inovatif kerana ia dapat membantu untuk menyediakan pelajar serta pengamal media untuk bersaing seterusnya memimpin dalam dunia media yang semakin dinamik.
“Forum ini membuktikan bahawa dengan kerjasama yang baik, kita boleh mencapai penyelesaian yang berkesan dalam menghadapi cabaran media masa depan.
“Kita juga boleh membina hubungan yang lebih erat antara sektor akademik dan industri (media-penyiaran) di rantau ASEAN,” tegas Roslan lagi.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof Ir Dr Mohd Shukry Abdul Majid berkata, AMIEF 2024 memberi peluang kepada negara-negara ASEAN untuk berkongsi amalan terbaik mengenai kurikulum pendidikan dalam bidang media dan teknologi digital.
Ujarnya, setiap negara mempunyai konteks pendidikan yang berbeza, namun cabaran globalisasi, digitalisasi dan perkembangan teknologi media memerlukan pendekatan yang lebih seragam di seluruh ASEAN.
“Forum ini boleh menjadi medan untuk memperkenal dan memperbaiki kurikulum yang relevan, termasuk kemahiran media digital, kewartawanan serta etika digital untuk membina generasi media yang berpengetahuan.
“Pendidikan bukan sahaja memainkan peranan penting bagi melatih tenaga kerja masa depan namun ia juga membentuk minda kritikal, inovatif dan kreatif yang diperlukan untuk berjaya dalam era digital ini.
“Melalui perkongsian dan perbincangan seumpama ini, negara-negara ASEAN boleh merangka kurikulum yang lebih inklusif, inovatif dan diselaraskan dengan keperluan industri semasa,” katanya.
Jelas beliau lagi, ia akan turut membantu institusi pengajian tinggi menghasilkan graduan yang mampu memenuhi permintaan pasaran kerja dalam industri media dan teknologi yang kian kompetitif di rantau ini.
AMIEF 2024 menyaksikan penyertaan 300 orang peserta yang terdiri daripada pelajar universiti, pemain industri media-penyiaran dan kakitangan awam-universiti.
Forum ini memberi ruang perbincangan yang mendalam mengenai isu-isu seperti perubahan landskap digital, kepentingan pendidikan media dan keperluan untuk meningkatkan tenaga mahir dalam industri tersebut yang semakin kompleks.
Forum ini menampilkan dua sesi panel utama yang membincangkan Cabaran dan Harapan Media Masa Depan dan Merapatkan Jurang Perbezaan dalam Industri Media. Pakar-pakar media-penyiaran dari rantau ASEAN seperti Dr. Rudianto M. Si dari Universiti Muhammadiyah (Indonesia), Dr. Attanan Tachopisalwong dari Universiti Walailak (Thailand) dan Ahmad Saifullizam Arshad, wakil industri media dari Malaysia, akan berkongsi pandangan dan pengalaman serta perspektif masing-masing.
Manakala bagi Dr. Rudianto, beliau melihat landskap media penyiaran kini telah mengalami transformasi yang amat besar dengan kemunculan teknologi digital berasaskan dalam talian yang telah merevolusikan cara berita dihasilkan dan disampaikan.
“Kewujudan pelantar media sosial, telefon pintar dan teknologi dalam talian telah membawa cabaran dan peluang baharu kepada syarikat media dan wartawan.
“Pada era digital ini, elemen kewartawanan tidak lagi terhad kepada media cetak atau siaran berita TV dan radio (konvensional), sebaliknya kini kewartawanan digital membolehkan pengintegrasian pelbagai medium seperti video, podcast, infografik serta elemen interaktif dalam penyampaian berita.
“Kepentingan kewartawanan data dalam era maklumat yang tidak terhad, di mana wartawan perlu memiliki kemahiran dalam menganalisis dan memvisualisasikan data bagi menyampaikan cerita atau berita yang lebih mendalam serta bermaklumat,” ujarnya.
Dr. Attanan Tachopisalwong pula menegaskan, dalam era media digital, pola penggunaan media telah berubah dengan amat ketara berbanding dengan penggunaan teknologi analog.
“Teknologi dan industri komunikasi yang berkembang pesat telah mengubah norma masyarakat atau khayalak berkomunikasi yang melibatkan sekatan geografi dan masa. “Khalayak menggunakan media sosial dan mencipta kandungan agar mudah diakses namun pada masa yang sama terdapat pengabaian yang menyedihkan terhadap fakta dan maklumat yang dikongsikan.
“Secara langsung dan tidak langsung berlakunya penyebaran maklumat palsu yang menyebabkan pelbagai impak negatif dalam semua elemen kehidupan manusia," kata beliau.
Bagi wakil industri media Malaysia pula, Ahmad Saifullizam Arshad menekankan bahawa fokus utama setiap pemain industri media-penyiaran haruslah kepada penyelesaian, bukan pada masalah.
“Untuk kekal relevan, semua pemain industri ini terus belajar dan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi komunikasi yang berubah amat pantas.
“Kita perlu mengambil pendekatan yang kreatif dan mesti berani mengambil risiko serta tidak takut untuk melakukan kesilapan. Hanya dengan pendekatan ini kita boleh terus menghasilkan idea-idea yang inovatif dan berdaya saing,” jelas Ahmad Saifullizam.
AMIEF2024 menjadi penanda aras baharu dalam usaha memperkukuh industri media di ASEAN, dengan IPPTAR dan UniMAP memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada perubahan positif ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!