'Senarai jawatankuasa Parti Reformasi Negara palsu'
SHAH ALAM - Senarai jawatankuasa sebuah parti baharu dikenali sebagai Parti Reformasi Negara yang tular beberapa hari lalu adalah palsu.
Parti berkenaan didakwa dianggotai beberapa pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Mohd Radzlan Jalaludin percaya perkara itu ditularkan oleh pihak tertentu yang terdesak dan tidak menyenangi usaha nama-nama pemimpin yang disenaraikan itu.
Menurutnya, nama tersebut merupakan anggota yang telah memenangi pemilihan parti lalu dan banyak berkorban memperkuatkan akar umbi.
"Kita tidak tahu siapa (dalang), tetapi kita yakin perkara ini dilakukan oleh pihak yang tak senang dengan kerja kuat individu yang tersenarai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sebelum ini, senarai nama jawatankuasa parti baharu itu tersebar di aplikasi WhatsApp dengan mengangkat Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai presiden manakala timbalannya adalah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.
Selain itu, antara nama pimpinan PKR lain yang turut tersenarai ialah Tian Chua, Haniza Mohamed Talha, Dr Daroyah Alwi, Azmizam Zaman Huri.
Dalam pada itu, Haniza ketika dihubungi Sinar Harian turut menafikan mengenai penularan senarai nama di dalam jawatankuasa tersebut.
Beliau berkata, penularan senarai tersebut merupakan usaha pihak tertentu untuk menyingkirkan pejuang serta pimpinan awal yang membina parti berkenaan.
"Pimpinan ini telah membina parti dari 'zero' sehingga menjadi parti utama dalam kerajaan Persekutan hari ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!