Faktor keselamatan punca lewat selamatkan Orang Asli terperangkap banjir

Mohd Khaizam (kiri), Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Mohd Khaizam (kiri), Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Kelewatan usaha menyelamat 33 penduduk Kampung Orang Asli Chenein di sini yang terperangkap hampir 12 jam dalam kejadian banjir, Ahad lalu adalah disebabkan faktor keselamatan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, hujan lebat dan limpahan air Sungai Pelus menyebabkan beberapa jalan terputus hubungan selain jaringan komunikasi mengalami gangguan.

"Pasukan penyelamat telah cuba masuk pada jam 12.30 tengah hari namun, pasukan tidak mahir keadaan muka bumi di kawasan tersebut berikutan laluan ditenggelami air.

"Mengambil kira faktor keselamatan berikutan arus deras, jaringan komunikasi terputus serta lokasi tepat keberadaan mangsa, pasukan penyelamat terpaksa keluar bagi mendapatkan bantuan logistik dan pandu arah daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, pasukan penyelamat terdiri daripada polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba kemudian berjaya masuk semula ke Kampung Chenein pada jam 1.30 petang.

"Kesemua mangsa berjaya ditemui berlindung di dewan kampung tersebut dalam keadaan selamat dan pasukan turut membuat tinjauan di kawasan sekitar bagi memastikan tiada mangsa lain terperangkap.

"Kesemua mangsa dibawa keluar sekitar jam 3 petang menggunakan pacuan empat roda dan ambulans milik APM setelah paras air mulai turun dan laluan selamat dilalui," katanya.

Mohd Khaizam menegaskan bahawa kelewatan usaha menyelamat penduduk Orang Asli berkenaan bukanlah disebabkan kecuaian.

Artikel Berkaitan:

Media melaporkan penduduk Kampung Orang Asli Chenein di sini terpaksa mengharungi tempoh 12 jam dalam keadaan kelaparan dan kesejukan akibat terperangkap dalam banjir pada Ahad.

Kesemua 32 mangsa daripada sembilan keluarga itu berlindung di tepi jalan berhampiran kawasan berbukit selepas kediaman masing-masing dinaiki air setinggi lebih satu meter.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!