Hati Nabila Huda tergores
PERKONGSIAN aktres Nabila Huda mengenai perjalanan terakhir kucing pertama yang dibela iaitu Aoki baru-baru ini telah menarik perhatian ramai, terutama di kalangan pencinta kucing.
Bagi Nabila atau nama penuhnya Nabila Huda Suhaimi, 40, perkongsian yang dibuat sebelum ini adalah semata-mata ingin memberi kesedaran kepada orang ramai tentang mengasihani haiwan.
Ujarnya, hatinya cukup tergores apabila ada pihak mengambil jalan mudah dengan membuang haiwan peliharaan yang sakit.
"Bagi saya masalah kewangan bukan alasan untuk membuang haiwan peliharaan sesuka hati kerana seseorang itu sepatutnya sudah memikirkan semua kebarangkalian apabila memilih membela kucing atau haiwan lain di rumah.
"Kalau anak kita sakit, tidak mungkin kita akan buang sewenang-wenangnya anak itu, begitu jugalah dengan haiwan peliharaan kita," ujar Nabila sebak.
Nabila berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Hikayat Bawah Putih Bawang Merah yang diadakan di TGV 1 Utama, Damansara baru-baru ini.
Tambah Nabila, perkongsian mengenai Aoki bukan hanya sekadar untuk menimbulkan kesedaran, tetapi secara tidak langsung dapat berkongsi ilmu mengenai kucing yang mungkin tidak diketahui ramai.
Bahkan ada di antara pengikut yang baru menyedari simptom yang dialami Aoki turut ada pada kucing yang pernah dipelihara.
"Mungkin ada pencinta kucing di luar sana yang tidak tahu tentang penyakit-penyakit dihidapi kucing. Saya sendiri tak tahu tentang simptom yang Aoki tunjuk pada awalnya.
"Paling menarik bila saya kongsi di media sosial, banyak benda boleh pengikut saya jadikan rujukan," jelasnya.
Pada 2 Oktober lalu, Nabila memaklumkan Aoki mati akibat menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap empat.
Dalam perkembangan lain, Nabila bakal membintangi drama empat episod Hikayat Bawang Putih Bawang Merah yang akan disiarkan di Astro Ceria bermula 21 Oktober ini.
Hikayat Bawang Putih Bawang Merah mengisahkan tentang Putih, seorang gadis yang dilayan dengan kejam oleh ibu tirinya Mak Kundur (lakonan Nabila) dan adik tirinya Merah.
Dalam usaha melarikan diri, Putih bertemu Pari-Pari Embun dan Putera Badlishah yang berjanji untuk membantu mengubah jalan hidupnya.
Selain Nabila, Hikayat Bawang Putih turut dibintangi barisan pelakon terkenal termasuk Mira Filzah, Kamal Adli, Amalina Arham dan Datin Lisa Surihani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!