Agenda pembaharuan kerajaan dorong pengukuhan ringgit - Amir Hamzah
RINGGIT menunjukkan prestasi lebih kukuh berbanding mata wang serantau, didorong keyakinan pelabur terhadap agenda pembaharuan kerajaan selain perkembangan global, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, pendekatan kerajaan meyakinkan kerana mengambil pendekatan pertama iaitu menetapkan hala tuju jelas melalui kerangka Ekonomi Madani dan kedua, menyusuli dengan pelaksanaan pembaharuan dasar termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta penyasaran subsidi elektrik, air dan diesel.
"Kerangka Ekonomi Madani turut disokong melalui kertas dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menetapkan strategi dan fokus pelaburan negara untuk menyokong peralihan ekonomi negara supaya lebih makmur, mampan dan terangkum,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang ingin tahu faktor nilai ringgit melonjak naik ke paras RM4.15 dan paras ramalan RM3.55 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir 2025.
Menurut Amir Hamzah, pergerakan nilai ringgit pada tahun ini didorong oleh perkembangan dalam pasaran global dan prestasi asas domestik yang kukuh.
"Dengan peralihan pendirian dasar monetari ekonomi utama global, terutama AS yang telah mula menurunkan kadar dasar, tingkah laku (sentimen) pelabur turut berubah berikutan perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil.
"Perkembangan ini telah menyebabkan kesanggupan mengambil risiko pelabur terhadap mata wang pasaran yang pesat membangun termasuk ringgit meningkat,” katanya.
Amir Hamzah berkata, kerajaan dan Bank Negara Malaysia juga telah mengambil tindakan terselaras untuk menggalakkan pendapatan pelaburan asing dibawa balik dan ditukarkan kepada ringgit oleh syarikat berkaitan kerajaan dan korporat.
"Langkah ini membantu mewujudkan aliran dua hala yang lebih rancak dalam pasaran pertukaran asing domestik seterusnya membantu mengukuhkan nilai ringgit,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!