41 kampung berisiko dilanda banjir di Terengganu

Sebanyak 41 kampung dijangka dinaiki air ekoran fenomena besar yang dijangka berlaku bermula malam Khamis hingga 25 Oktober depan.
Sebanyak 41 kampung dijangka dinaiki air ekoran fenomena besar yang dijangka berlaku bermula malam Khamis hingga 25 Oktober depan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 41 kampung di Terengganu berisiko dilanda banjir akibat fenomena air laut pasang tinggi yang dijangka berlaku malam Khamis hingga 25 Oktober depan.

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, perkara itu dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu.

Menurutnya, kesemua kampung tersebut berisiko dinaiki air kerana terletak di 12 muara sungai utama di Terengganu.

"Berdasarkan rekod JPS Terengganu, terdapat 10 kampung terletak di dua muara yang berisiko banjir iaitu muara Sungai Terengganu dan muara Sungai Ibai.

"Antara kampung terlibat ialah Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Pulau Rusa, Kampung Pak Tuyu, Tanjung Gelam, Kampung Ulu Takir, Seberang Takir, Kampung Kubang Ikan, Taman Purnama dan Kampung Kuala Ibai," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Hanafiah berkata, bagi daerah Marang terdapat dua muara sungai terlibat iaitu Sungai Marang dan Sungai Merchang di mana melibatkan lima kampung iaitu Kampung Rusila, Kampung Rhu Dua, Kampung Rhu Rendang, Kampung Merchang dan Kampung Pulau Rusa Baru.

"Bagi daerah Dungun pula terdapat tiga muara sungai utama iaitu muara Sungai Dungun, muara Sungai Paka dan muara Sungai Sura yang melibatkan 13 kampung.

"Kampung yang berisiko ialah Kuala Paka, Tebing Tembah, Durian Mentangau, Pinang Merah, Kampung Sura, Teluk Bidara, Seberang Pintasan, Che Lijah, Alor Makbah, Tanjung Jara, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Sungai Udang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, di daerah Kemaman pula terdapat dua muara iaitu Sungai Kemaman dan Sungai Kemasik melibatkan empat kampung iaitu Pengkalan Cicar Bukit Kuang, Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Kampung Bakau Tinggi dan Kampung Baru Kemasik.

Katanya, empat kampung di daerah Besut berisiko dilanda banjir antaranya Kampung Pengkalan Atap, Kampung Nail, Teluk Budu dan Kampung Pantai.

"Bagi daerah Setiu terdapat dua muara iaitu Sungai Setiu dan Sungai Merang yang melibatkan enam kampung iaitu Kampung Telaga Papan, Kampung Gong Batu, Pengkalan Gelap, Kampung Fikri, Kampung Limau Lipis dan Kuala Setiu," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, penduduk perlu lebih berhati-hati dan bersedia untuk berpindah sekiranya perlu.

"Semua penduduk di kawasan berisiko ini diminta berhati-hati dan berwaspada dengan perubahan cuaca yang berlaku dan segera berpindah ke lokasi selamat sekiranya perlu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!