Hong Kong siasat kematian 9 monyet di zoo

Jabatan Perkhidmatan Kebudayaan dan Rekreasi Hong Kong melakukan siasatan susulan kematian 9 monyet di Zoo Hong Kong - Foto: Agensi
Jabatan Perkhidmatan Kebudayaan dan Rekreasi Hong Kong melakukan siasatan susulan kematian 9 monyet di Zoo Hong Kong - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Kematian sembilan ekor monyet dalam beberapa hari di sebuah zoo di Hong Kong, mendorong siasatan dijalankan untuk mengetahui puncanya, lapor United Press International (UPI).

Taman Zoologi dan Botani Hong Kong sebahagiannya ditutup pada Isnin untuk menjalankan ujian bagi merungkai kematian misteri yang turut melibatkan spesies terancam, menurut laporan.

Pada Ahad, lapan ekor monyet ditemukan mati dan pada Isnin, Jabatan Perkhidmatan Kebudayaan dan Rekreasi Hong Kong mengumumkan kematian seekor lagi, menjadikan jumlah keseluruhan sembilan ekor.

Jabatan itu bekerjasama dengan Jabatan Pertanian, Perikanan dan Pemuliharaan serta mengaturkan nekropsi dan ujian makmal dengan segera bagi mengenal pasti punca kematian.

Tiga daripada monyet yang mati adalah daripada spesies yang terancam kritikal, menurut pegawai.

Antara haiwan yang mati termasuk tiga ekor tamarin cotton-top yang hanya ditemukan di barat laut Colombia, empat white-faced saki, seekor common squirrel monkey dan seekor monyet De Brazza, dengan seekor lagi masih dalam pemerhatian.

Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) John Lee Ka-chiu berkata, autopsi dan ujian toksikologi sedang dijalankan.

"Kami perlu mengawal masalah ini terlebih dahulu untuk menghentikan penyebarannya," katanya pada sidang akhbar mingguan Selasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap keputusan ujian toksikologi akan diperoleh secepat mungkin untuk menangani masalah itu dengan lebih fokus.

Zoo itu yang merupakan tertua di Hong Kong sejak dibuka pada 1871 dan meliputi kira-kira 14 ekar di kawasan mewah, menempatkan 158 burung, 93 mamalia dan kira-kira 21 reptilia.

Seorang penolong profesor di Universiti Hong Kong menyatakan bahawa kematian haiwan secara berkelompok ini adalah sesuatu yang luar biasa bagi haiwan yang berada dalam kurungan, menurut Siddharth Sridhar, penolong profesor klinikal di Jabatan Mikrobiologi, kepada The New York Times. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!