Kerjasama erat dalam TVET, industri halal perkukuh hubungan Malaysia-Filipina
KUALA LUMPUR - Kerjasama erat dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan industri halal akan memperkukuh hubungan strategik Malaysia-Filipina selain membawa manfaat besar kepada kedua-dua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, dalam pertemuannya dengan pasukan Technical Education and Skills Development Authority (TESDA) di Filipina hari ini, kedua-dua pihak optimis dengan usaha penerokaan potensi TVET dan industri halal di negara itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka sependapat bahawa pendidikan TVET sangat penting untuk memastikan generasi muda serta tenaga kerja sedia ada dilengkapi dengan kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa pasaran kerja.
"Selain melahirkan bakat baharu, TVET juga dapat membantu proses reskilling dan upskilling tenaga kerja, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.
"Pertemuan ini membuka peluang Malaysia dan Filipina berkongsi amalan terbaik, memperkukuh piawaian kurikulum dan saling mengiktiraf kelayakan akademik. Melalui pertukaran kepakaran dan program latihan bersama, kita dapat meningkatkan kemahiran rakyat dan merebut peluang baharu di pasaran global,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pertemuan itu antara lain turut membincangkan tentang industri halal yang memfokuskan kepada kekuatan Malaysia dalam pensijilan halal di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Beliau yakin menerusi kerjasama dengan TESDA, Malaysia mampu membangunkan ekosistem halal global yang lebih kukuh di Filipina.
"Saya turut berbesar hati mengetahui bahawa eksport halal Malaysia ke Filipina meningkat sebanyak 7.4 peratus pada 2023. Filipina kini menjadi destinasi eksport halal Malaysia kelapan terbesar dunia dan keempat terbesar di ASEAN.
"Ini membuktikan hubungan perdagangan yang kukuh dan permintaan tinggi terhadap produk halal di rantau ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!