Tanah runtuh Taman Melawati: Batuan sedimen dasar masih kukuh

Ahmad Maslan ketika ditemui pemberita selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, hari ini. Foto Bernama
Ahmad Maslan ketika ditemui pemberita selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

AMPANG - Struktur tanah di kawasan kejadian tanah runtuh di lereng bukit Taman Melawati, di sini masih kukuh dan tiada berlaku pergerakan tanah berterusan di lokasi kejadian.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, siasatan awal Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (CKC JKR) di lokasi kejadian kegelinciran tanah itu mendapati runtuhan cerun disebabkan hakisan tanah.

Beliau berkata, kegagalan cerun yang berlaku di kawasan kejadian merupakan hakisan tanah di atas kawasan permukaan sahaja.

Tambah beliau, hakisan itu hanya membabitkan bahagian permukaan tanah yang gelincir akibat aliran air melimpah ke permukaan cerun.

"Siasatan CKC JKR juga mendapati batuan sedimen dasar di bukit berkenaan masih kukuh.

Ahmad meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, hari ini. Foto Bernama
Ahmad meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, hari ini. Foto Bernama

"CKC JKR selaku pengerusi Jawatankuasa Kerja Tanah Runtuh di bawah Pelan Induk Cerun Negara akan kemukakan laporan khidmat nasihat pakar teknikal serta cadangan pembaikan kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Zamri Ramli.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, runtuhan tanah berlaku sepanjang 30 meter dari kaki cerun dengan keluasan permukaan runtuhan seluas 500 meter persegi.

Menurutnya, kegagalan pada struktur dinding sistem perparitan telah menyebabkan aliran air melimpah ke permukaan cerun.

Katanya, aliran air yang banyak akibat hujan lebat telah melemahkan struktur tanah dan menumbangkan pokok pada cerun.

"Pada masa ini, tindakan mitigasi jangka pendek yang telah dikenal pasti adalah pembersihan sisa runtuhan termasuk longkang di atas dan di bawah cerun," katanya.

Selain itu katanya, kerja-kerja mencantas pokok di bahagian cerun, pengalihan sementara laluan air dan menutup runtuhan cerun menggunakan kanvas sedang dilaksanakan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, kawasan tanah runtuh di Taman Melawati itu melibatkan milik pemaju.

Sehubungan itu beliau berkata, pihak MPAJ dicadangkan mengadakan libat urus bersama pemaju untuk kaedah rawatan kekal bagi memastikan kestabilan cerun dan keselamatan pengguna jalan raya pada masa hadapan.

"Kita berharap laporan penilaian penuh cerun berhubung kejadian tanah runtuh ini akan diperoleh esok (Khamis).

"Selain itu, kita juga mencadangkan penambah baik berhubung kejadian ini kepada pihak MPAJ," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!