[VIDEO] Tukang kebun ketua Geng Dinesh didakwa atas 11 pertuduhan

A
A
A

MANJUNG - Ketua Geng Dinesh yang aktif melakukan jenayah curi dalam kereta didakwa atas 11 pertuduhan di Mahkamah Seri Manjung di sini pada Rabu.

Dinesh Kumar (kiri) mengaku bersalah atas 11 pertuduhan di Mahkamah Seri Manjung pada Rabu.
Dinesh Kumar (kiri) mengaku bersalah atas 11 pertuduhan di Mahkamah Seri Manjung pada Rabu.

Tertuduh, A Dinesh Kumar, 24, didakwa atas enam pertuduhan menceroboh kediaman di enam kawasan perumahan di antara jam 1.10 pagi 24 Ogos hingga jam 12.35 tengah malam 16 September yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas empat pertuduhan mencuri harta dalam kenderaan berupa kasut, beg tangan, beg pemegang kad dan kad bar emas di antara jam 6 pagi 4 September hingga jam 8 pagi 27 September yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, tertuduh juga berdepan satu pertuduhan khianat memecahkan cermin kereta jam 7 pagi pada 27 September 2024 di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan kesemua kesalahan itu dilakukan di beberapa taman perumahan di sekitar Sitiawan.

Tertuduh yang bekerja sebagai tukang kebun mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Nur Shaqira Ibrahim yang mewakili tertuduh kemudiannya merayu mahkamah mengenakan denda paling minimum bagi setiap pertuduhan yang dikenakan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda antara RM1,500 hingga RM3,500 bagi kesemua pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM22,500.

Fakhrul Razzi juga memerintahkan hukuman penjara di antara tiga hingga 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nurjihan Jaya.

Pada 10 Oktober lalu, media melaporkan polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes curi dalam kenderaan di daerah Manjung apabila menahan kumpulan suspek dikenali sebagai Geng Dinesh, pada 27 September lalu.

Kumpulan tiga individu termasuk seorang wanita berusia 24 hingga 26 tahun dari Johor itu dipercayai aktif mencuri di daerah berkenaan sejak awal September lalu.

Modus operandi kumpulan itu menyasarkan perumahan penduduk secara rawak dengan mencuri pelbagai barangan berharga dalam kenderaan yang tidak berkunci.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!