Pekerja pembersihan maut selepas tergelincir dari belakang lori sampah
BESUT - Seorang pekerja pembersihan maut akibat dirempuh sebuah Proton Saga selepas tergelincir dari belakang lori sampah dalam kejadian di Kampung Jabi di sini pada pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa, Muhammad Sahrul Aiman Anuar, 20, dipercayai berdiri di bahagian belakang lori sampah tersebut dan telah terjatuh ke atas kereta dipandu seorang wanita.
Beliau berkata, pihaknya menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung nahas itu jam 8.05 pagi.
"Hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, kereta dipandu oleh guru taska itu dalam perjalanan dari Kampung Apal ke Pasar Jabi.
"Apabila sampai di lokasi itu, kereta tersebut telah terlanggar mangsa yang terjatuh selepas tergelincir dari belakang lori sampah itu.
"Mangsa yang juga kelindan lori sampah cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di sini pada Rabu.
Menurut Abdul Rozak, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!