Penyelia didakwa curi alat ganti kenderaan
MELAKA - Penyelia di sebuah bengkel kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu, atas tuduhan mencuri alat ganti bernilai lebih RM60,000 milik majikannya.
Tertuduh, Foo Yeong Yunn, 40, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Berdasarkan pertuduhan, dia didapati dengan niat curang mencuri barang-barang alat ganti kenderaan bernilai RM61,640 milik Proton Bunga Raya Auto Premium Sdn. Bhd.
Tindakan itu dilakukan di pusat servis kenderaan itu di Jalan TTC 30, Taman Teknologi Cheng, di sini, kira-kira jam 7.50 pagi hingga 8.21 malam, pada 5 Oktober lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah kerana anak guamnya menyara keluarga dengan pendapatan sebanyak RM3,200 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!