Tindakan berkala kekang kilang e-waste haram
SEGAMAT - Tindakan tegas Majlis Perbandaran Segamat (MPS) berjaya mengekang kilang haram memproses sampah elektronik (e-waste) di daerah itu.
Yang Dipertua MPS, Mohd Helmi Sha'ri berkata, ini susulan tindakan penguatkuasaan berkala yang dijalankan sejak tahun lalu.
Menurutnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut terlibat operasi bersepadu banteras kilang haram ini.
"Ini bagi tindakan pemotongan sambungan elektrik tidak sah dan MPS komited bagi pastikan tiada kilang haram dengan tindakan tegas akan diambil.
"Bagi setiap pengeluaran lesen atau permit operasi perniagaan, atau perindustrian di bawah MPS adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang ditetapkan di mana semua permohonan baharu lesen perlu mendapat ulasan terlebih dahulu dari jabatan teknikal berkaitan," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MPS di sini pada Rabu.
Jelas beliau, MPS ada lebih 14 jabatan teknikal yang perlu dirujuk sebelum permit atau lesen dikeluarkan dan dibawa ke mesyuarat jawatan kuasa kesihatan dan perlesenan untuk kelulusan penuh.
"Aktiviti kitar semula e-waste merupakan satu aktiviti yang sah dan boleh dijalankan di dalam negara, namun perlu mendapat kelulusan JAS memandangkan e-waste dikategorikan sebagai bahan buangan terjadual," ujarnya.
Tambahnya, terdapat beberapa kilang yang mendapat kebenaran untuk beroperasi kerana telah mendapat syarat kelulusan penilaian impak alam sekitar dari Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Sementara itu, Ketua Cawangan JAS Cawangan Muar, Mohd Aizuddin Ab Razak berkata, terdapat dua jenis lesen e-waste iaitu lesen pengasingan serta lesen pengasingan dan peleburan.
Kata beliau, jika lesen penuh iaitu pengasingan dan peleburan, terdapat cerobong pelepasan asap.
"Terdapat lapan kilang e-waste di Segamat yang dibenar beroperasi di mana tujuh memiliki lesen pengasingan dan satu lesen penuh (pengasingan dan peleburan)," katanya.
Pada 6 Ogos lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan aktiviti kilang haram di Segamat, Johor yang dipercayai beroperasi melerai, memproses dan melebur sisa e-waste diseludup tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan hingga mencetuskan kegusaran penduduk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!