Suri rumah dipenjara 8 bulan simpan barang curi

Subhatara dipenjara 8 bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyimpan telefon bimbit curi di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Rabu.
Subhatara dipenjara 8 bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyimpan telefon bimbit curi di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Rabu.
A
A
A

MANJUNG - Seorang suri rumah dipenjara lapan bulan atas tuduhan menyimpan telefon bimbit curi di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Rabu.

Tertuduh, A Subhatara, 36, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Limau, Sitiawan di sini jam lebih kurang jam 6 pagi pada 4 September 2024.

Mengikut pertuduhan dia didakwa dengan curang telah menyimpan harta curi iaitu satu unit telefon bimbit jenis Vivo warna hitam kepunyaan Ew Hui Hui, 34, dengan mengetahui bahawa harta tersebut adalah harta curi.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Shaqira Ibrahim yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman paling minimum dikenakan atas alasan Subhatara merupakan suri rumah dan mempunyai anak dua orang selain suami merupakan tukang kebun.

Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara selama lapan bulan bermula dari tarikh ditangkap.

Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan bersama rakannya, MS Venuseran, 39, Subhatara mengaku tidak bersalah atas dakwaan dengan sengaja telah membantu melupuskan harta curi iaitu satu kad bank kepunyaan Nursyaamila Ramli, 19.

Artikel Berkaitan:

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Terus Maju, Sitiawan di sini jam 6.30 petang pada 26 Ogos 2024.

Mereka berdua yang merupakan ahli Geng Dinesh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM2,500 setiap seorang dengan seorang penjamin dan tarikh 18 November 2024.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurjihan Jaya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!