LBS cadang lima langkah strategik untuk Belanjawan 2025

LIM HOCK SAN
LIM HOCK SAN
A
A
A

SHAH ALAM - Pemaju hartanah, LBS Bina Group Berhad (LBS), berkongsi pandangan dengan mencadangkan lima langkah strategik untuk Belanjawan Negara 2025 yang bakal dibentang tidak lama lagi.

Selaras dengan komitmen terhadap inovasi, kelestarian, dan pemilikan rumah, LBS telah menggariskan beberapa saranan utama untuk Bajet 2025 yang bertujuan memberi sokongan kepada sektor hartanah dan ekonomi secara menyeluruh.

Cadangan-cadangan itu mencerminkan dedikasi LBS untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti tinggi, selari dengan matlamat ekonomi dan alam sekitar.

Berikut lima langkah strategik yang dicadang LBS:

Pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC)

LBS ingin menyarankan agar kerajaan mengembalikan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang berjaya dilaksanakan dari tahun 2019 hingga tahun 2021. Inisiatif yang menawarkan pengecualian duti setem dan kelonggaran kriteria kelayakan pinjaman telah membantu lebih 100,000 keluarga mencapai impian memiliki rumah. Pengembalian HOC dijangka merangsang jualan dalam pasaran hartanah kediaman, mempercepatkan perolehan hartanah, dan meningkatkan sentimen positif dalam sektor hartanah.

Mempromosikan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS)

Sebagai peneraju dalam amalan pembinaan inovatif, LBS mencadangkan agar kerajaan memberi insentif kewangan untuk penerapan Sistem Binaan Berindustri (IBS). Walaupun Pengecualian Cukai Pelaburan telah dilanjutkan sehingga 2025, LBS berharap adanya subsidi atau geran yang dapat mengurangkan kos awal pengeluaran IBS. Penggalakan penggunaan IBS secara meluas dijangka meningkatkan kualiti pembinaan, mengurangkan kebergantungan tenaga kerja, serta meningkatkan produktiviti dalam sektor pembinaan.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Menggalakkan Kecerdasan Buatan (AI)

LBS menyokong inisiatif kerajaan yang menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pembangunan hartanah. Penggunaan AI dalam industri ini mampu meningkatkan kecekapan, keselamatan, dan produktiviti secara signifikan, serta mengurangkan kos operasi. LBS mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan program latihan AI serta insentif kewangan bagi menggalakkan inovasi berasaskan AI di sektor hartanah secara menyeluruh.

Memperkukuh inisiatif Pembiayaan Hijau

Selari dengan komitmen LBS terhadap pembangunan lestari, LBS menyarankan peningkatan dana di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau. LBS mencadangkan agar Belanjawan semasa sebanyak RM1 bilion diperluaskan dan meningkatkan had pembiayaan maksimum untuk projek pembangunan hijau. Langkah ini membolehkan pemaju melaksanakan projek hijau berskala lebih besar, sekali gus menyumbang kepada matlamat alam sekitar Malaysia dan membantu sektor hartanah sejajar dengan piawaian kelestarian global.

Mengurangkan Kos Pematuhan

Laporan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) menekankan bahawa kos pematuhan kini merangkumi 21 peratus hingga 33 peratus daripada nilai pembangunan kasar bagi projek perbandaran dan sehingga 45 peratus untuk pembangunan strata. Memandangkan kos yang kian meningkat, LBS berharap kerajaan mengambil langkah untuk meringankan beban tersebut agar harga hartanah kekal mampu milik bagi rakyat Malaysia, sekali gus membina sentimen positif dan perkembangan lestari untuk pasaran hartanah.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir. (Dr) Lim Hock San, berkata, Belanjawan Negara 2025 berpotensi untuk membentuk masa depan sektor hartanah Malaysia secara signifikan.

“Dengan pelaksanaan inisiatif yang memudahkan pemilikan rumah mampu milik, memacu kemajuan teknologi seperti AI dan memperluas inisiatif pembiayaan hijau, kami akan mampu meneraju peluang yang semakin berkembang.

Menurutnya, LBS kekal komited untuk membina rumah yang memenuhi keperluan rakyat sambil mempromosikan amalan pembangunan lestari dan inovatif.

“Syarikat percaya bahawa dengan menangani cabaran dalam sektor hartanah dan melaksanakan perubahan dasar yang lengkap, kerajaan dapat mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pemaju dan pembeli rumah, sekali gus memacu pertumbuhan jangka panjang dalam industri ini,”katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!