Mahu pukat ikan, tertangkap buaya

Seekor buaya tembaga ditemukan tersangkut bersama tangkapan yang lain dalam pukat milik nelayan di Bagan Ikan, Bagan Datuk dekat sini pagi tadi. Foto APM
Seekor buaya tembaga ditemukan tersangkut bersama tangkapan yang lain dalam pukat milik nelayan di Bagan Ikan, Bagan Datuk dekat sini pagi tadi. Foto APM
A
A
A

IPOH - Seekor buaya tembaga ditemukan tersangkut bersama tangkapan yang lain dalam pukat milik nelayan di Bagan Ikan, Bagan Datuk dekat sini pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bagan Datuk, Kapten (PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan insiden itu pada 11.30 pagi daripada nelayan terbabit yang juga merupakan pemilik sebuah pelantar ikan di kawasan berkenaan.

"Dia (nelayan terbabit) telefon Pusat Kawalan Operasi APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) Daerah Bagan Datuk mengatakan seekor buaya telah ditangkap bersama ikan dalam pukat.

"Seramai lima anggota dan pegawai APM Daerah Bagan Datuk terus pergi ke lokasi untuk mengesahkan memang betul terdapat seekor buaya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, meskipun pihaknya sedia maklum terdapat buaya di kawasan berkenaan dan kehadiran hidupan liar itu pernah tular di laman sosial sebelum ini, namun setakat ini tiada sebarang kes melibatkan konflik antara haiwan itu dengan manusia.

Mohd Fazly berkata, sejurus pihaknya mengesahkan bahawa buaya berkenaan tersangkut pada pukat ikan itu, beliau terus menghubungi Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Teluk Intan untuk tindakan lanjut.

"Buaya itu telah diangkat oleh enam orang, membabitkan anggota APM dan pegawai Perhilitan.

"Pegawai Perhilitan ada memberitahu anggaran panjang buaya betina itu adalah kira-kira 3.048 meter dengan berat antara 60 ke 70 kilogram," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, buaya berkenaan kini telah diserahkan kepada pihak Perhilitan untuk tindakan selanjutnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!