Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong dibuka 10 Februari

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Permohonan bagi Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) sesi pengajian 2020/ 2021 untuk peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di dalam dan luar negara dibuka bermula pada 5 petang 10 Februari ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini berkata, permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang secara dalam talian melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my sehingga tarikh tutup pada 6 Mac 2020.

Katanya, tarikh akhir bagi mengemukakan borang permohonan yang lengkap secara serahan tangan atau pos juga pada 6 Mac 2020.

"BYDPA menawarkan sebanyak 12 biasiswa iaitu enam di peringkat Sarjana dan enam di peringkat PhD untuk calon mengikuti pengajian dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang dan Kewangan Islam," katanya.

Menurut JPA, keutamaan diberikan kepada calon yang mendapat keputusan akademik amat cemerlang iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sekurang-kurangnya 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana.

JPA berkata, keutamaan juga diberikan kepada calon yang mempunyai keupayaan luar biasa seperti penguasaan pelbagai bahasa, kebolehan istimewa, aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau menghasilkan kerja kreatif dan inovatif.

Katanya, calon yang telah mendapat tawaran atau memulakan pengajian pada tahun penajaan di universiti penyelidikan tempatan atau universiti terkemuka di dunia turut diberi keutamaan.

Syarat kelayakan lain ialah warganegara Malaysia dan berumur tidak lebih 35 tahun pada tahun memulakan pengajian.

Artikel Berkaitan:

"Calon-calon yang layak dan berjaya disenarai pendek akan melalui proses pemilihan termasuk temu duga," katanya.

JPA berkata, penerima BYDPA adalah terikat untuk berkhidmat di Malaysia dalam tempoh tidak kurang dari lima tahun.

"Oleh itu, penerima biasiswa yang telah menamatkan pengajian di luar negara diwajibkan pulang ke tanah air selepas tamat tempoh tajaan," katanya.

Maklumat lanjut mengenai penawaran itu boleh didapati melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my atau hubungi talian 03–8885 3371/ 3879/ 3438/ 3569 pada setiap hari bekerja mulai jam 9 pagi hingga 5 petang atau emel kepada penawaranldp@jpa.gov.my. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!