Penderaan fizikal, mental punca tahanan Rohingya lari dari depot

EAIC. Laporan Sinar Harian
EAIC. Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Kekerasan melampau serta penderaan fizikal dan mental antara faktor 131 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor pada 1 Februari lalu.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah menyelesaikan siasatan berkaitan insiden berkenaan.

Menurut kenyataan itu, siasatan dijalankan berdasarkan aduan diterima dan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

"Siasatan mendapati terdapat unsur kekerasan dan penderaan yang dialami tahanan di depot berkenaan selain pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bertugas tidak peka terhadap keadaan sekeliling sebelum insiden itu berlaku.

"Selain itu, faktor lain adalah bangunan depot berkenaan yang merupakan bekas Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), mempunyai kelemahan infrastruktur yang tidak memenuhi standard yang diperlukan untuk berfungsi sebagai depot tahanan," katanya kenyataan itu pada Rabu.

EAIC berkata, siasatan turut mendapati pegawai kanan dan penyelia di depot berkenaan gagal memantau serta bertindak untuk mengawal keadaan semasa insiden tersebut berlaku.

"Hasil siasatan mendapati kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya bermula dari tahun 2020 hingga 2021 ketika mereka ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi, sebelum dipindahkan ke beberapa depot imigresen, termasuk depot berkenaan.

"Beberapa pegawai imigresen di depot terbabit termasuk dua pegawai yang pernah bertugas di Kem Wawasan Langkawi didapati melakukan kekerasan melampau serta penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan etnik Rohingya sehingga mengakibatkan kecederaan kepada mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas EAIC, pihaknya memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap kesemua pegawai terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) Jabatan Imigresen Malaysia.

"Selain itu, cadangan penambahbaikan infrastruktur depot tahanan juga akan dikemukakan kepada Ketua Pengarah Imigresen Malaysia.

"EAIC telah membuat laporan mengenai isu kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya di depot berkenaan dan Kem Wawasan Langkawi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Sinar Harian pada Februari lalu melaporkan seramai 131 PATI melarikan diri dari blok lelaki depot itu dengan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya.

Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 adalah etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!