Kolej UNITI, UHAC anjur Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal kali ketiga
DALAM usaha memperkukuhkan keupayaan para eksekutif halal dalam memimpin dan membangunkan industri itu, Kolej UNITI dan UNITI Halal Center (UHAC) sekali lagi menganjurkan Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal (PEH24) di Bangi Avenue Convention Centre pada 22 dan 23 Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI, Amir Hamzah Md Isa berkata, program kali ketiga diadakan itu juga memberi peluang kepada peserta untuk mengemas kini informasi terkini dalam industri halal.
“Melalui persidangan ini, peserta dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam mengurus tugasan mereka dalam industri halal dengan lebih cekap dan berkesan.
“Para peserta juga dapat membina hubungan dan jaringan profesional yang kukuh sesama mereka selain berkongsi pengalaman dengan rakan sejawat dan belajar dengan pakar dalam bidang ini.
“Selain itu, mereka juga dapat memperoleh inspirasi baharu dan mengambil langkah pemula dalam memperluaskan pasaran,” katanya kepada Sinar Islam Plus.
Menurutnya, ramai pakar dalam bidang masing-masing dijemput dalam lapan sesi sepanjang persidangan berlangsung termasuk perkongsian pemain industri di Malaysia dan proses pensijilan halal di Indonesia.
Tambah Amir Hamzah, apa yang menarik pada PEH24 ini, ada tambahan sesi bonus istimewa iaitu Halal Edutourism yang diadakan pada 24 Oktober.
“Halal Edutourism bertujuan memperkenalkan peserta kepada pelbagai aspek dalam industri halal melalui lawatan dan pengalaman secara teori dan amali.
“Antara aktiviti dalam Halal Edutourism termasuk jelajah mengenali Makmal Analisis Halal MYHAC, lawatan ke kilang halal dan perkongsian pengamalan sertu di kilang,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya, penyertaan Halal Edutourism terhad dan hanya dibuka kepada 40 peserta terawal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!