[VIDEO] Pembaikan cerun di Taman Melawati guna kaedah 'pemakuan tanah'

A
A
A

AMPANG - Kerja-kerja pembaikan cerun di lokasi tanah runtuh di Taman Melawati di sini akan menggunakan kaedah pemakuan tanah.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan dasar tanah di kawasan kejadian berada dalam keadaan kukuh.

Beliau berkata, kerja-kerja pembaikan itu dijangka mengambil sedikit masa.

Ahmad ketika ditemui pemberita selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati pada Rabu. Foto Bernama
Ahmad ketika ditemui pemberita selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati pada Rabu. Foto Bernama

Selain itu katanya, kerja-kerja membina tembok penahan pergerakan tanah juga akan dilaksanakan.

"Proses pembaikan ini akan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan mengadakan libat urus bersama pemaju.

"Proses ini adalah satu bentuk rawatan dan pemulihan kekal bagi memastikan kestabilan cerun dan keselamatan pengguna jalan pada masa hadapan," katanya dalam sidang media pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa meninjau kerja-kerja pembersihan dan pembaikan tanah di Taman Melawati.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Zamri Ramli.

Sementara itu, Ahmad berkata, sebanyak 3,200 cerun di semua jalan persekutuan seluruh negara telah dikenal pasti sebagai lokasi berisiko berlakunya tanah runtuh.

Tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan pada Selasa, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu. Foto Bernama
Tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan pada Selasa, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu. Foto Bernama

Tambah beliau, keseluruhannya terdapat sebanyak 27,000 cerun di semua jalan persekutuan termasuk yang berada berhampiran bangunan kerajaan seperti sekolah dan hospital.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengaktifkan bilik gerakan bencana (BGB) beberapa hari lalu.

"Jika perlu, kita akan bekerja 24 jam untuk memberikan sistem amaran awal (EWS).

"EWS ini khusus untuk cerun, kawasan berhampiran dengan penempatan, bangunan kerajaan terutama sekolah yang ada 10,000 di seluruh negara serta kawasan cerun yang berdekatan dengan jalan persekutuan," ujarnya.

Menurutnya, pengaktifan BGB dilaksanakan atas arahan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Katanya, langkah itu dilakukan berikutan cuaca tidak menentu ketika ini susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negara.

"Sekarang ini bulan monsun dan negara dikejutkan dengan kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur pada Selasa.

"Segala jentera kita di Jabatan Kerja Raya (JKR) diketuai jurutera daerah akan digerakkan dan mengaktifkan segala rangkaian di daerah yang berkaitan.

“Jadi kami (KKR) ingin memberikan nasihat yang sewajarnya iaitu mereka yang berada berhampiran dengan cerun supaya berwaspada," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!