Jurukimpal mengaku miliki item Daesh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang jurukimpal mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan Daesh dan perbuatan pengganas dalam telefon bimbit, hampir lima bulan lalu.

Muhammad Fesool Haron, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, K Muniandy.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 20 November depan untuk prosiding jatuh hukum dan fakta kes.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki item-item yang berkaitan dengan kumpulan dan perbuatan pengganas dalam sebuah telefon bimbit jenama VIVO Y15.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Kempas di Johor Bahru, Johor pada 1.10 tengah hari, 30 Mei lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130JB(1) kanun sama, membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucutkan mana-mana bahan tersebut, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan sementara tertuduh diwakili peguam, N Kanmani.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!