'Ingatkan ahli keluarga murid tahfiz datang, tapi rupa-rupanya...'
KUANTAN - Hanya kalimat 'masya-ALLAH' dan 'Allahuakbar' yang mampu diucap oleh Pengasas Pusat Tahfiz Miftahul Qura, Bukit Bayroute, Mohd Abdul Salam Abdul Ghani apabila menerima kunjungan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang mencemar duli melawat pusat tahfiz itu.
Mohd Abdul Salam ketika dihubungi Sinar Harian berkata, kunjungan Tengku Hassanal kira-kira jam 5 petang itu benar-benar mengejutkan malah menjadi peristiwa yang cukup bermakna buat dirinya dan pelajar Pusat Tahfiz Miftahul Qura'.
Berkongsi keterujaan itu, Mohd Abdul Salam memberitahu perasaan gemuruhnya ketika berdepan Pemangku Raja Pahang itu kerana tidak bersedia dengan kunjungan tersebut.
Berkongsi kisah itu, Mohd Abdul Salam berkata, ketika ketibaan Tengku Hassanal di hadapan rumahnya, beliau sedang memandikan anak-anak di bilik air dan menyangka ada ahli keluarga murid yang datang untuk bertemu.
"Seorang anak memaklumkan ada orang nak jumpa. Sebaik sahaja keluar saya terkejut melihat tuanku berada di hadapan rumah sedang berbual-bual dengan beberapa pelajar diiringi polis pengiring.
"Saya langsung tidak menerima sebarang makluman atau diberitahu tentang kunjungan baginda ke sini. Tengku Hassanal seorang yang sentiasa mendekati rakyat dan tidak terlalu mementingkan protokol," katanya.
Mohd Abdul Salam memberitahu, Tengku Hassanal juga berkenan meninjau pusat tahfiz itu dan menghulurkan sumbangan serta meminta kerosakan dibaiki segera sebelum berangkat pulang ke istana.
Bagaimanapun katanya, tidak banyak gambar yang dapat dikongsi kerana beliau terlupa membawa telefon untuk merakam kenangan sepanjang lawatan berkenaan.
"Mujurlah sempat juga terlintas untuk berbuat demikian walaupun agak terlambat. Jadi dengan bantuan pegawai pengiring, sempatlah beberapa keping gambar bersama tuanku dirakam," katanya.
Menurutnya, lebih teruja beliau sempat menyembah maklum untuk menghadap Pemangku Raja Pahang itu di istana dan hasrat itu diperkenankan.
Mohd Abdul Salam turut memuat naik gambar kunjungan Pemangku Raja Pahang itu di akaun Facebooknya kelmarin dan dikongsi beberapa netizen yang memuji Tengku Hassanal yang disifatkan berjiwa rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!