Sistem MyMajikan mudahkan syarikat urus zakat kakitangan

Abdul Hakim (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Majikan Terbaik PPZ-MAIWP.
Abdul Hakim (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Majikan Terbaik PPZ-MAIWP.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) perkenal sistem MyMajikan bagi memudahkan syarikat memperbaharui sistem pengurusan zakat kakitangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Operasi PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, sistem itu dibangunkan bagi menggantikan sistem yang digunakan sebelum ini iaitu e-FEM.

Menurutnya, PPZ-MAIWP mengambil langkah memperbaharui sistem sedia ada selepas penelitian dalaman dan maklum balas dari majikan bagi memudahkan kedua-dua pihak.

"Sama seperti e-FEM, objektif sistem MyMajikan ini adalah untuk memudahkan majikan menguruskan pembayaran zakat kakitangan melalui potongan gaji secara secara bulanan dengan menyediakan ciri-ciri lebih mesra pengguna.

"Jika sebelum ini bayaran zakat kakitangan hanya boleh dilakukan secara manual namun kini majikan boleh terus membuat bayaran secara dalam talian dan boleh mendapatkan resit bayaran," katanya.

Selain itu katanya, majikan juga boleh memantau status bayaran dan menyemak semula rekod bayaran bagi mengelak berlaku keciciran bulan potongan zakat kakitangan serta pelbagai fungsi lain.

Antara peserta hadir pada Majlis Mesra Majikan pada Rabu.
Antara peserta hadir pada Majlis Mesra Majikan pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Mesra Majikan 2024 berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Program itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penglibatan 158 majikan daripada sektor kerajaan dan swasta dengan kehadiran lebih 300 peserta.

Pada majlis itu sebanyak 20 majikan menerima Anugerah Majikan Terbaik atas kecemerlangan menguruskan bayaran potongan zakat bulanan kakitangan.

Abdul Hakim berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan tiga kriteria iaitu majikan yang membuat bayaran potongan zakat kakitangan pada bulan semasa.

"Penilaian turut dibuat berdasarkan peningkatan peratusan jumlah kutipan tahunan zakat melalui potongan zakat bulanan berbanding tahun sebelum.

"Selain itu, anugerah disampaikan kepada majikan yang berjaya meningkatkan bilangan pembayar zakat melalui potongan gaji sekurang-kurangnya 80 peratus kakitangan muslim," katanya.

Antara majikan menerima penghargaan itu ialah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Bank Islam Malaysia Berhad, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, Shell Business Service Centre Sdn Bhd, Universiti Malaya, Al Rajhi Banking & Investment Corporation (M) Sdn Bhd, Prokhas Sdn Bhd dan Koperasi Ladang.

Majikan lain turut menerima anugerah ini termasuk GMA Resources Sdn Bhd, Payment Network Malaysia Sdn Bhd, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Rahim&Co International Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Berhad, Kementerian Kesihatan Malaysia, International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF), Winner Venture Sdn Bhd dan Digital Nasional Berhad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!