MASIC dipilih sebagai ahli Persekutuan Astronautik Antarabangsa

Kamarul Redzuan
Kamarul Redzuan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemasukan Konsortium Industri Angkasa Malaysia (MASIC) sebagai ahli Persekutuan Astronautik Antarabangsa (IAF) pada Kongres Astronautikal Antarabangsa (IAC) ke-75 menyerlahkan sektor angkasa lepas Malaysia yang semakin pesat membangun.

Presiden MASIC, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed berkata, keahlian MASIC dalam IAF adalah peristiwa penting dalam menentukan dalam perjalanan Malaysia.

"Ia bukan sahaja mengiktiraf usaha gigih kami untuk memartabatkan industri angkasa Malaysia tetapi juga meningkatkan kapasiti MASIC untuk membina perkongsian global yang strategik.

"Kami kekal berazam merealisasikan misi untuk meneroka teknologi angkasa dan menyumbang kepada matlamat jangka panjang Malaysia bagi mencapai kemandirian (bergantung kepada keupayaan dan kebolehan diri kita sendiri) dalam bidang angkasa lepas menjelang 2030," katanya.

Sementara itu, MASIC dalam satu kenyataan berkata keahlian dalam IAC itu mengesahkan kehadiran konsortium yang semakin menyerlah dalam komuniti angkasa global.

Menerusi keahlian tersebut, ia akan membuka banyak peluang untuk kerjasama antara MASIC dan organisasi angkasa antarabangsa terkemuka, memangkin inovasi dan kemajuan teknologi untuk industri angkasa Malaysia.

"Dengan kedudukan baharu sebagai ahli IAF, MASIC bersedia untuk melipatgandakan dalam wacana angkasa global, memperkukuhkan lagi keupayaan Malaysia dan memupuk kerjasama antarabangsa yang akan memajukan sektor angkasa negara," katanya.

Pembentukan MASIC diterajui oleh Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) untuk mewujudkan platform tunggal penggiat industri angkasa lepas tempatan Malaysia bagi meningkatkan kecekapan dan kepakaran industri secara kolektif. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!