Dua beranak cedera dihempap pokok kelapa sawit tumbang
LIPIS - Dua beranak cedera akibat dihempap pokok kelapa sawit yang tumbang dalam kejadian di Kilometer 23, Jalan Lipis-Benta di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kejadian dilaporkan kira-kira jam 1 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika mangsa, S Dhanalekchumi, 37, sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang selepas mengambil salah seorang anaknya, K Tanushrou, 7, dari sekolah.
Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa dilaporkan cedera di leher dan dada manakala anaknya mengalami kecederaan parah di kepala serta dada.
"Siasatan awal mendapati, pokok kelapa sawit yang berada di lereng bukit itu tumbang disebabkan angin kencang sebelum menghempap mangsa.
"Mangsa dari Taman Teratai, Benta di sini kemudiannya dihantar ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan," katanya melalui kenyataan pada Rabu.
Ismail berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di talian.09-3121999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!