Belanjawan 2025: PGSM harap kerajaan salur peruntukan, bantu ibu tunggal

Musa
Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berharap kerajaan dapat menyalurkan peruntukan sekurang-kurangnya RM1.5 juta setahun bagi membantu ibu tunggal dalam Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini.

Presiden PGSM, Musa Awang berkata, jumlah tersebut dapat membantu lebih 400 kes individu tidak berkemampuan untuk membayar kos melantik peguam syarie mewakili mereka bagi membuat tuntutan atau menjawab tuntutan di Mahkamah Syariah di seluruh negara setiap tahun.

Menurutnya, dari Oktober 2022 sehingga Disember 2023, PGSM telah menerima lebih 1,498 permohonan di seluruh negara dan lebih 549 permohonan telah diluluskan dan berjalan di seluruh negara.

"Bagi tahun ini, sehingga Ogos 2024, lebih 400 permohonan telah diterima namun terpaksa ditangguhkan kerana bantuan tidak dapat diteruskan susulan tiada peruntukan bagi tahun 2023 dan 2024.

"Pusat Bantuan Guaman Syariah (Bagus-PGSM) juga menawarkan khidmat nasihat undang-undang kepada masyarakat Islam yang ingin mendapatkan nasihat konsultasi perundangan berhubung proses dan prosedur tuntutan serta menjawab tuntutan di Mahkamah Syariah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Musa, bantuan seumpama itu amat diperlukan terutamanya ibu tunggal yang bercerai untuk menuntut hak penjagaan anak dan nafkah anak di bawah jagaan mereka, mutaah (saguhati perceraian) untuk mereka meneruskan kelestarian kehidupan sebagai ibu tunggal, tunggakan atau penguatkuasaan nafkah anak dan sebagainya.

Jelasnya, ibu tunggal terpaksa bekerja untuk meneruskan kehidupan di samping menjaga anak-anak dan dalam masa sama menjadi kesukaran untuk mereka membuat tuntutan hak diri dan hak anak jika tidak diwakili peguam.

"Bagus-PGSM berbeza dengan program bantuan guaman yang lain kerana ia mudah diakses dari segenap pelusuk dan permohonan hanya secara atas talian di laman sesawang www.baguspgsm.com.my.

Artikel Berkaitan:

"Usaha PGSM sewajarnya diberikan sokongan dan galakan oleh Kerajaan Madani kerana ia bertepatan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!