Banjir: Syarikat telekomunikasi diarah sedia set janakuasa

Nie Ching (dua kiri) menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@ Hawana kepada penterjemah akhbar, K Loganathan, 43, (dua dari kanan) di kediamannya di Bestari Jaya pada Rabu.
Nie Ching (dua kiri) menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@ Hawana kepada penterjemah akhbar, K Loganathan, 43, (dua dari kanan) di kediamannya di Bestari Jaya pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengarahkan syarikat telekomunikasi menyediakan set janakuasa diesel mudah alih di kawasan terjejas banjir bagi menghadapi musim tengkujuh.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, set janakuasa diesel itu membolehkan menara telekomunikasi beroperasi jika berlaku gangguan elektrik.

Menurut beliau, set janakuasa diesel itu hanya mampu bertahan selama kira-kira empat atau lima jam sahaja, namun ia sedikit sebanyak mengelakkan gangguan perkhidmatan talian komunikasi.

"Perkhidmatan komunikasi ini merupakan perkhidmatan asas dan kita akan memastikan kawasan banjir tidak mengalami gangguan berterusan.

"Sekurang-kurangnya alat perhubungan komunikasi ini tidak menjadi isu kepada mangsa banjir, sekiranya berlaku ada jalan penyelesaian segera," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Tabung Kasih @ Hari Wartawan Nasional (Hawana) kepada salah seorang bekas penterjemah sebuah syarikat akhbar Tamil di Bestari Jaya di sini pada Rabu.

Seramai 158 pengamal media telah menerima sumbangan inisiatif Tabung Kasih@Hawana setakat Oktober ini selain menyasarkan 200 pengamal media disantuni dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.

Menurut beliau, penyediaan alatan itu akan dipantau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan penyediaan itu dapat digunakan sementara waktu disebabkan menara pemancar mengalami gangguan.

Ditanya mengenai terdapat syarikat telekomunikasi menyediakan perkhidmatan set janakuasa diesel sebelum ini di kawasan banjir, Nie Ching berkata, beliau tidak mempunyai angka tersebut dan perlu membuat semakan melalui SKMM.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, tambah beliau, pihaknya turut berharap orang ramai tidak menyebar berita palsu terutama berkaitan situasi cuaca tidak menentu pada masa sekarang.

Beliau memberitahu, berita palsu mengundang ketakutan awam dan merupakan satu ancaman serius.

"Kami juga mendapat kerjasama yang baik daripada penyedia perkhidmatan untuk membantu memadam berita palsu yang tersebar luas.

"Kita akui cabaran yang dihadapi tentang penyampaian berita palsu ini menjadi lebih tular daripada penjelasan daripada pihak autoriti," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!