Pembangunan kluster dalam pembuatan di Wilayah Tengah perlu dijadikan inisiatif strategik - PM

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangunan kluster industri khusus dalam sektor pembuatan di Wilayah Tengah perlu dijadikan inisiatif strategik Kerajaan Madani untuk memperkukuh kedudukan negara sebagai hab pelaburan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sewaktu mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 7 Tahun 2024 hari ini, perkara itu adalah antara yang telah dipersetujui secara dasar.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata aspek kepentingan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam mempromosikan Wilayah Tengah secara bersama harus diberi penekanan.

"Ini penting dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke kawasan-kawasan tumpuan di setiap negeri, mempercepat pelaksanaan projek sekali gus menambah baik ‘ease of doing business’ dengan pengurangan karenah birokrasi,” kata beliau menerusi catatan di laman X hari ini.

MPN pada hari ini juga bersetuju agar Perbadanan Produktiviti Malaysia meneruskan pelaksanaan inisiatif uji kaji peraturan untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan penyampaian peraturan di semua peringkat kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), kata beliau.

"Prakarsa ini perlu diteruskan dan juga diperluaskan berdasarkan kecemerlangan yang ditunjukkan terutamanya dalam penjimatan masa dan kos,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata usaha itu juga akan meningkatkan pelaburan yang seterusnya menambah hasil PBT terutama dalam urusan permit pembinaan serta pengurusan tanah melalui pendekatan "Industrial Green Lane” seperti yang telah dilaksanakan di Kulai, Johor dan Kulim, Kedah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!