'Kekal di PPS, jangan balik rumah'
SUNGAI SIPUT - Lebih 250 penduduk yang berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan Lintang dinasihatkan supaya tidak pulang ke rumah berikutan gelombang kedua banjir telah bermula sejak malam Selasa.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, taburan hujan tinggi dan pelepasan terkawal dari empangan di Sungai Perak menyebabkan beberapa kawasan kembali dinaiki air.
"Gelombang kedua telah berlaku malam tadi sehingga pagi ini tapi tidak sebesar berbanding Ahad yang lalu. Kita minta mangsa banjir kekal di PPS, jangan balik ke rumah masing-masing.
"Penduduk perlu berada di PPS sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
"Sedikit sebanyak semua kemudahan telah disediakan walaupun ada kekurangan tetapi dari segi keselamatan dan kesihatan," katanya ketika ditemui pada program penyerahan bantuan kepada 400 ketua isi rumah yang terjejas banjir di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang di sini pada Rabu.
Barangan keperluan antaranya toto, selimut, bantal serta barangan makanan telah disumbangkan oleh Jabatan Pertanian Negeri, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Air Perak.
Tambah Mohd Zolkafly, ada sebahagian penduduk yang kembali ke rumah untuk mengambil barang dan cuci rumah dilaporkan terkandas malam tadi.
"Ada yang dapat diselamatkan sebelah pagi kerana gangguan talian komunikasi di sekitar Lasah dan Lintang jadi sukar untuk berhubung antara mangsa banjir dengan komuniti di PPS dan pasukan penyelamat.
"Diharap mangsa banjir dan orang ramai yang terkena, supaya dapat mengawasi keadaan hujan yang tidak menentu tambahan fenomena air pasang besar, kesannya akan dirasai di kampung-kampung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!