Bank Rakyat terbit sukuk lestari sulung RM500 juta

Bank Rakyat berjaya menerbitkan Sukuk Kelestarian sulung berjumlah RM500 juta.
Bank Rakyat berjaya menerbitkan Sukuk Kelestarian sulung berjumlah RM500 juta.
A
A
A

BANK Rakyat berjaya menerbitkan Sukuk Kelestarian sulung berjumlah RM500 juta.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, penawaran itu dilaksanakan selepas melalui proses penetapan harga secara kompetitif pada 1 Oktober 2024 di bawah Program Sukuk Wakalah Senior dengan had penerbitan keseluruhan sebanyak RM10 bilion yang diberikan penarafan AA2 oleh RAM Rating Services Berhad.

Menurutnya, penerbitan sulung bagi Sukuk Kelestarian itu merangkumi dua bahagian iaitu RM150 juta untuk tempoh lima tahun dan RM350 juta untuk tempoh tujuh tahun.

“Penerbitan Sukuk Kelestarian tersebut menerima permintaan yang tinggi dengan lebihan langganan sebanyak lima kali dan ditutup pada 3.53 kali daripada jumlah terbitan sebenar dan ia mencerminkan keyakinan kukuh pihak pelabur terhadap inisiatif pembiayaan lestari Bank Rakyat.

“Penerbitan Sukuk Kelestarian ini mendapat sambutan baik daripada pelbagai segmen pelabur dan telah diagihkan dalam kalangan institusi kewangan tempatan, agensi kerajaan, pengurus aset dan syarikat insurans sebagai daya tarikan pelaburan yang memfokuskan kepada kelestarian,” katanya pada Rabu.

Mengulas lanjut, menurut Bank Rakyat, hasil daripada penerbitan itu akan disalurkan untuk membiayai perniagaan dan projek yang menyokong lapan daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Tambahnya, usaha tersebut bukan sahaja menyokong objektif syarikat, tetapi juga menekankan dedikasi untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat dan menyokong kelestarian alam sekitar.

Ulasnya, sokongan luar biasa oleh semua pelabur terhadap penerbitan sukuk tersebut mencerminkan keyakinan orang ramai terhadap asas kewangan Bank.

Artikel Berkaitan:

“Penerbitan ini juga menjadi bukti pendekatan inovatif Bank Rakyat dalam sektor kewangan Islam sekali gus mengukuhkan peranan dalam memajukan inisiatif pembiayaan yang berfokus kepada SDG.

“Maybank Investment Bank Berhad berkhidmat sebagai penasihat tunggal dan pengatur utama untuk Program Sukuk Wakalah.

“Maybank Investment Bank Berhad juga bertindak sebagai salah satu pengurus utama bersama untuk transaksi ini bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad, CIMB Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!