Kerajaan terbuka terima cadangan pinda Akta Anti Lompat Parti

Azalina
Azalina
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan terbuka untuk menerima sebarang cadangan penambahbaikan Akta Anti Lompat Parti bagi membolehkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dibincang dengan teliti sebelum diusulkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan, ketika ini Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah diwartakan pada 6 September 2022.

Akta tersebut katanya telah berkuat kuasa mulai 5 Oktober 2022 dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan sebahagiannya melibatkan peruntukan Perkara 49A iaitu berkenaan larangan lompat parti.

"Antara implikasi utama pelaksanaan undang-undang tersebut ialah mana-mana Ahli Dewan Rakyat akan kehilangan kelayakan Ahli Dewan Rakyat sekiranya melepaskan keanggotaan parti politik, berhenti menjadi ahli parti politik atau setelah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat bebas, menyertai suatu parti politik sebagai anggota.

"Pada masa kini, sekiranya seorang Ahli Dewan Rakyat dipecat daripada parti politiknya, dia tidak perlu mengosongkan kerusi," katanya dalam jawapan bertulis sidang Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai rancangan kerajaan terhadap pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi memperkemas, memperjelas dan memantapkan Akta Anti Lompat Parti.

Sebelum ini Azalina dilapor berkata, Jabatan Perdana Menteri masih menunggu mana-mana pihak termasuk Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk mengemukakan cadangan bagi membolehkan akta tersebut dipinda bertujuan penambahbaikan.

Terdahulu pada 15 Julai lalu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menjelaskan, pindaan kepada Akta A1663 perlu dibincang dengan teliti dan dipersetujui secara dwipartisan.

Artikel Berkaitan:

Malah menurut beliau, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) tiada masalah dan bersedia mengusulkan pindaan terhadap akta itu sepertimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!